Mengingatkan perkara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, DAP tidak kisah atau melompat jika media menyiarkan laporan yang 'menghentam' Pas atau PKR.
Tetapi katanya, kepemimpinan parti itu akan melenting kalau mereka diusik meskipun laporan itu berlandaskan fakta.
"Kebebasan media ala Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang memperlihatkan cara beliau mendominasi satu-satu media.
"Itu bukan pendirian beliau sahaja tetapi sebenarnya kepemimpinan DAP. Dia bagi alasan semua media arus perdana adalah alat UMNO untuk menjatuhkan Kerajaan DAP Pulau Pinang, sedangkan media membuat tugas hakiki mereka melaporkan kebenaran.
"Jika media yang dikatakan alat UMNO itu melaporkan sesuatu penyelewengan di Pulau Pinang, isu tersebut akan diputarbelitkan oleh Guan Eng hanya kerana media tersebut bukan 'tokong' kepada Guan Eng" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Guan Eng yang mengelak untuk memberi sebarang ulasan ketika berhadapan dengan akhbar The Star dan memilih memberi kenyataan secara bertulis sahaja kerana bimbang kenyataannya akan diputar belit.
Menurutnya, Guan Eng sentiasa 'mencabul' hak kebebasan media yang kononnya diperjuangkan oleh pemimpin pembangkang selama ini dengan mengadakan sekatan terhadap beberapa media di Pulau Pinang.
"Slogan kebebasan bersuara hanya retorik murahan DAP dan pakatan pembangkang. Bayangkan, baru empat tahun memerintah pelbagai sekatan luar biasa telah dikeluarkan oleh mereka terhadap media yang menyokong kerajaan.
"Sebelum 2008, mereka cuba menjadi jaguh kebebasan media, kebebasan bersuara dan sebagainya, kenapa pula sekarang ini tiba-tiba mereka menjadi marah dengan kebebasan media yang diamalkan oleh media arus perdana," jelasnya.
Tunku Aziz juga mendakwa sekatan terhadap media akan bertambah parah sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat penuh untuk memerintah negara.
"Kebebasan media yang ada kini akan terus lenyap sekiranya pembangkang memerintah, mereka akan cuba untuk memansuhkan media arus perdana yang sedia ada atas alasan media tersebut berat sebelah," ujarnya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.