Jumaat, 1 Februari 2013

006/02/13- Gejolak dalam akar umbi Pas sudah semakin ketara

MUNGKIN pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Pas boleh mendabik dada mengatakan apa yang berlaku ke atas Nasharudin Mat Isa tidak akan menjejaskan parti tersebut.
Malahan bagi sesetengah daripada mereka, penyingkiran atau lebih tepat lagi pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas itu dari kerusi Majlis Syura Ulama Pas adalah 'satu rahmat'.
Ini memandangkan bagi mereka seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, satu lagi halangan besar semakin hampir untuk dilepasi.
Sememangnya selama ini, mereka melihat Nasharudin adalah halangan dalam usaha mereka memperkukuhkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Segala-galanya bukan kerana Nasharudin menuntut apa-apa kedudukan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan imej Pas tetapi disebabkan Nasharudin mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas, tegas dalam soal mempertahankan kesucian Islam dan tidak bersedia berkompromi dengan mana-mana juga pihak yang boleh menjejaskan kepentingan Islam.
Namun malangnya, di dalam Pas sekarang seolah-olah tidak boleh ada pemimpin yang bersikap demikian. Justeru tidak hairanlah penulis menerima pelbagai maklum balas daripada penyokong-penyokong tegar Pas berikutan apa yang berlaku.
''Pemecatan Ustaz Nasharudin dari Majlis Syura bukti Pas tunduk kepada desakan DAP. Apa dosa beliau? Bagaimana Pas ingin memperjuangkan Islam jika pemimpin tiada pendirian? Berdosakah mengiringi Perdana Menteri ke Gaza demi Islam."
Itu antara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh penulis daripada penyokong Pas yang melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku ke atas Nasharudin.
Selain itu, satu sumber dalaman Pas memberitahu penulis, ketika ini pemimpin-pemimpin Pas semakin tertekan kerana isu Nasharudin dikatakan menambahkan lagi beban parti itu selepas mereka dilihat tidak berupaya menangani isu kalimah Allah.
''Pas bernasib baik kerana ada orang seperti Datuk Harun Taib dan Datuk Dr. Haron Din yang terus konsisten mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.
''Tetapi saya tidak fikir mereka berada dalam keadaan selesa kerana kedua-dua mereka dikatakan sering sehaluan dengan Nasharudin dalam mempertahankan prinsip perjuangan Pas," kata sumber tersebut ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Penulis difahamkan apa yang meresahkan pemimpin-pemimpin Pas kini ialah gejolak di peringkat akar umbi semakin ketara apabila ada penyokong menganggap masanya sudah tiba untuk mereka memberikan mesej yang jelas kepada kepimpinan parti itu.
''Selama ini, ahli-ahli Pas bersabar apabila kepimpinan parti tetap mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP biar pun mereka lihat ia lebih banyak rugi daripada untung.
''Tetapi kali ini mereka tidak boleh bertahan lagi kerana Pas sudah semakin ketara menggadaikan segala-galanya demi mencapai cita-cita politik dengan kedua-dua parti itu," kata seorang pemimpin muda Pas ketika menghubungi penulis.
Menurut pemimpin muda itu, kepimpinan Pas juga gagal memberikan alasan yang kukuh kenapa Nasharudin digugurkan daripada Majlis Syura, bagi ahli-ahli parti itu alasan kononnya Nasharudin tidak menghadiri mesyuarat hanyalah alasan semata-mata.
''Sejak awal lagi, apabila Nasharudin sanggup berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah, penyokong-penyokong Pas sudah melihat ada sesuatu yang tidak kena.
''Ini memandangkan tidak ada seorang pun pemimpin Pas daripada golongan bukan ulama mempertahankan Nasharudin sebaliknya mereka menganggap itu perbalahan peribadi antara Nasharudin dan Karpal.
''Hujah ini cukup aneh kerana Nasharudin mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan Pas, bukannya soal peribadi. Sejak itu, penyokong-penyokong Pas melihat bahawa ada agenda untuk melihat Nasharudin disingkirkan daripada parti itu," kata pemimpin muda tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Pas di peringkat kawasan yang dihubungi penulis mempersoalkan apakah tindakan Nasharudin mengikut Perdana Menteri ke Gaza adalah satu dosa.
''Sepatutnya Pas berbangga biar pun Nasharudin pergi atas nama Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia tetapi semua orang tahu beliau adalah pemimpin Pas, jadi kenapa perlu melihat tindakan beliau satu kesalahan.
''Kalau ada dalam kalangan pemimpin Pas mengatakan lawatan Perdana Menteri itu hipokrit, saya berpendapat Pas lebih hipokrit kerana sanggup mengambil tindakan ke atas mana-mana juga pemimpin mereka yang dilihat berjuang mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas," kata pemimpin Pas itu.
Mungkin Pas akan menganggap bahawa bantahan terhadap pemecatan Nasharudin hanyalah perkara kecil dan dengan angkuh berkata, tidak peduli bekas Timbalan Presiden Pas itu hendak menyertai parti mana sekali pun. Namun percayalah sentimen ini tidak dikongsi oleh sebahagian ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang semakin keliru, celaru dan tertanya-tanya apa sudah jadi dengan parti tersebut.
Sebab itulah, satu kajian menunjukkan 95 peratus ahli dan penyokong Pas tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti tersebut khususnya dalam menangani isu kalimah Allah dan dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP.
Tidak apalah, jika kepimpinan Pas terus mahu berasa angkuh, sombong dan mendabik dada kononnya penyokong-penyokong tegar mereka tidak akan lari dan akan tetap mengundi mereka, namun penentu kemenangan sesebuah parti bukan bergantung kepada penyokong tegar sahaja tetapi juga kelompok lain.
Dan dalam isu melibatkan Pas khususnya tindak tanduk mereka sejak berkawan dengan PKR dan DAP serta nasib yang menimpa Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharudin, ternyata Pas tidak layak untuk diberikan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerana apabila Pas menang, sudah pasti PKR dan DAP yang senang.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan