Menurut Pengerusi Barisan NGO Negeri Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar, kenyataan bercelaru kepimpinan Pas hari ini dalam pelbagai isu, termasuk isu himpunan haram anjuran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu permainan politik selamat parti tersebut.
"Pas tahu, majoriti rakyat, khususnya umat Islam menolak pendekatan Ketua Pembangkang yang cuba membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat dengan mengadakan himpunan haram yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.
"Sebab tu kita dapat lihat sikap dan pendirian Pas yang tidak konsisten berhubung isu-isu seperti ini dilihat sebagai satu cara politik selamat di mana mereka cuba memenangi hati rakyat dan dalam masa yang sama, cuba untuk menjaga perhubungan parti gabungan di dalam pakatan," jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Menurutnya, dengan pendekatan sebegitu, Pas berharap agar imej Lebai Malang yang menghantui parti tersebut selama ini dapat diubah agar parti tersebut dilihat mempunyai pengaruh dan kuasa mengatasi DAP dan PKR di dalam gabungan Pakatan Pembangkang.
"Tetapi malangnya, bagi saya apa yang dilakukan oleh Pas itu lebih menampakkan kelemahan dari sudut pendirian mereka. Rakyat melihat kepimpinan Pas tidak konsisten dalam menyatakan pendirian mereka dan hakikatnya mereka masih tunduk dengan kehendak DAP dan PKR.
"Sudah jelas bahawa selama ini Pas yang berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, namun yang berkuasa ialah DAP dan PKR.
"Lebih malang lagi apabila Pas ternyata hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk DAP dan PKR. Apabila terbentuk kerajaan, mereka tidak diberikan sebarang jawatan bak pepatah melukut di tepi gantang,"tegasnya.
Jelasnya lagi, hari ini rakyat sudah melihat betapa malangnya Pas apabila parti tersebut membuat keputusan untuk bergabung bersama DAP dan PKR serta menolak sebarang usaha perpaduan bersama UMNO.
"Sudah banyak perkara yang akan tercicir daripada perjuangan parti tersebut. Pas begitu banyak berkorban prinsip dan perjuangan mereka demi untuk DAP dan PKR.
"Saya yakin, sekiranya Pas terus bersama Pakatan Pembangkang, lebih banyak lagi agenda perjuangan mereka yang akan tercicir. Jangan kelak nanti yang dikendong tak dapat dan yang dikejar pula keciciran," ujarnya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.