Pendekatan Puteri UMNO menangani pembohongan pembangkang dengan pantas dapat menarik sokongan pengundi muda kepada Barisan Nasional (BN) apabila mereka dapat membezakan antara maklumat yang benar dan palsu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Ketuanya, Mas Ermieyanti Samsudin berkata, dalam era teknologi maklumat yang berkembang pesat sekarang adalah penting bagi pengundi muda mengetahui perkara sebenar tentang sesuatu isu yang dilaporkan bagi membolehkan mereka memilih pemimpin terbaik mewakili mereka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, pergerakan itu juga berusaha gigih mematahkan fitnah dan dakyah pembangkang yang dilemparkan kepada BN terutama di media sosial melalui ceramah dan perjumpaan dengan pengundi.
"Menjadi tanggungjawab kami untuk bekerja keras memperbetul segala fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang dan menerangkan maklumat sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama.
Isnin ini, 27,222 pengundi di DUN Sungai Limau akan memilih wakil baharu mereka antara calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dan calon Pas, Mohd. Azam Abd Samat bagi mengisi kekosongan kerusi penyandang, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Mas Ermieyanti berkata, selain ceramah dan pertemuan rumah ke rumah, pergerakan itu turut mendekati pengundi yang berada di luar kawasan menerusi telefon, media sosial dan juga khidmat pesanan ringkas.
Setakat ini, pergerakan itu telah mendekati lebih separuh daripada 11,000 pengundi muda berusia bawah 40 tahun, dengan 5,662 daripadanya wanita. - BERNAMA