Rabu, 18 Disember 2013

LIBERALISME BIKIN NURUL IZZAH BUTA PERJUANGAN UMNO

Dalam komennya mengenai Persidangan Agung UMNO yang berlangsung baru-baru ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menuduh parti itu menggelapkan masa depan orang Melayu.

Malah anak kepada Ketua Umum PKR itu mendakwa UMNO tidak peduli nasib bangsa dan rakyat Malaysia dengan membiarkan kos sara hidup naik.

Menurut Nurul lagi pemimpin-pemimpin negara hidup senang lenang tatkala rakyat menderita kerana tekanan kos barangan keperluan yang naik.

Komen seperti Nurul itu adalah contoh mentaliti pemimpin pembangkang yang gaya cakap dan beretorik yang boleh memukau si pendengar tetapi hakikatnya kosong dan tidak berlandaskan fakta.

Mungkin disebabkan generasi seperti Nurul lahir dalam era negara sudah pun lama mengecapi kemerdekaan lalu jahil mengharungi sejarsah perjuangan UMNO dan juga pejuang-pejuang Melayu yang ikhlas dan kental mempertahankan ibu pertiwi.

Nurul seperti rakan-rakan seperjuangan muda lain yang menyokong pembangkang berasa tidak perlu untuk mempelajari sejarah kontemporari negara apatah lagi sejarah keagungan dan kehebatan Melayu sebagai satu bangsa yang bermaruah dan progresif di alam Nusantara.

Bagi Nurul sudah cukup membaca sedikit sebanyak sejarah perjuangan UMNO secara permukaan sahaja dan tidak berusaha memahami perit dan getir generasi terdahulu yang membangunkan masa depan negara yang dikecapi beliau kini.

Inilah sebenar wajah mereka yang menganut fahaman liberalisme yang cuba disebarluaskan di dalam pemikiran rakyat negara ini oleh tidak lain tidak bukan ayahnya sendiri, Anwar Ibrahim.

Seorang yang berkiblat kepada fahaman liberalisme tidak melihat sejarah serta kefahaman mengenainya sebagai satu aset penting dalam memahami erti kehidupan sebenar.

Orang seperti Nurul dan yang 'sewaktu' dengannya melihat sejarah sebagai satu subjek yang mati dan kaku serta tidak mampu menyumbang kepada pergerakan sesebuah tamadun ke arah kesempurnaan.

Oleh kerana fikiran golongan ini seperti begitu, maka mereka tidak dapat mempelajari apa-apa daripada sejarah kerana bukan itu yang menjadi panutan mereka dalam pencarian ideologi mereka.

PKR adalah sebuah parti yang berpegang dan menganuti agama liberalisme di samping pluralisme.

Pada pemikiran Nurul apa yang penting adalah apa yang dilihatnya di depan matanya sahaja.

Tidak perlu melihat ke belakang seperti dalam hal ini perjuangan UMNO untuk membela bangsa Melayu.

Tidak menghairankan jika Nurul tidak pernah dengar mahupun mengambil inisiatif untuk membaca karya-karya agung bangsa Melayu yang ditulis oleh tokoh silam seperti Tun Sri Lanang, Hamzah Fansuri atau yang lebih kontemporer seperti Za'aba, Hamka.

Mereka bukan sahaja menulis mnengenai politik, ketamadunan tetapi juga sejarah jatuh bangun bangsa Melayu yang sepatutnya dijadikan pedoman dan panduan oleh pemimpin muda seperti Nurul.

Adalah amat mudah bagi beliau memetik satu dua statistik atau menemubual seorang dua penduduk di kawasannya mengenai masalah mereka lalu membuat rumusan kerajaan adalah zalim, menindas dan sebagainya.

Jika Nurul ingin menjadi seorang pemimpin politik yang berwibawa dan berintegriti beliau hendaklah melengkapkan dirinya dengan pengetahuan sejarah negara secara mendalam dan terperinci.

Membaca sejarah sahaja tidak mencukupi tetapi memahaminya adalah lebih mencabar.

Setelah faham, yang lebih payah ialah bagaimana pula mengintepretasi bahan sejarah yang telah difahami.

Dalam konteks komen dan kenyataan Nurul mengenai UMNO, nampak sangat pengetahuan beliua mengenai latar belakang berwarna warni parti itu sejak penubuhannya pada tahun 1946 tidak begitu difahami oleh beliau.

Mungkin Nurul amat terpengaruh dengan kesan poltiking yang parah di kalangan parti-parti pembangkang sehingga tidak dapat memisahkan antara fakta, kenyataan dan fantasi.

Jangan disebabkan terlalu ghairah melayan kebencian terhadap UMNO dan Barisan Nasional sehingga tidak dapat mengimbangi pendapat yang syumul dan adil terhadap jasa-jasa parti pemerintah yang telah membangunkan negara dengan begitu hebat sekali.

Ingatlah kontemporer UMNO seperti Golkar di Indonesia, LDP di Jepun, Kongres di India sudah hilang kuasa politik disebabkan parti-parti itu tidak lagi mampu melalui proses peremajaan sebagaimana yang sentiasa dilakukan UMNO.

Ingatlah, Nurul, sebenci mana saudari luahkan perasaan terhadap UMNO, sistem kerajaan yang dipertahankan oleh UMNO itulah juga yang membolehkan anda bergelar 'Yang Berhormat'.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.