Jumaat, 21 Februari 2014

Keputusan Untuk Bertanding di Kajang Tepat

 
Rakyat rata-ratanya menyambut baik keputusan BN untuk bertanding dalam PRK Kajang walaupun sesetengah berpendapat bahawa adalah tidak perlu untuk 'melayan kegilaan' pembangkang.    
 
PRK Kajang adalah bukti bahawa pembangkang selama ini telah mempermainkan demokrasi apabila menyuruh wakil rakyat mereka meletak jawatan tanpa sebarang sebab yang konkrit.   Tindakan tidak bertanggungjawab pembangkang membawa kepada pembaziran yang bukan sedikit tetapi sehingga jutaan ringgit.  Pihak SPR menganggarkan sekurang-kurangnya kos sejumlah RM1.5 juta diperlukan untuk PRK Kajang dan jumlah ini belum lagi termasuk dengan kos yang diperlukan oleh PDRM untuk mengawal keadaan. 
 
Kajang adalah kawasan pembangkang dan BN secara dasarnya, tidak mempunyai peluang cerah untuk menang.  Dengan 40% pengundi Cina dan 48% pengundi Melayu, maka Kajang dilihat sebagai kawasan Cina kerana undi Cina bersifat 'sepadu' manakala undi Melayu pula berpecah tiga. 
 
Berdasarkan fakta ini, BN punya pilihan untuk mencuba meraih kembali sokongan Cina ataupun menumpukan sepenuh perhatian kepada undi Melayu dengan matlamat untuk mengurangkan majoriti pembangkang.  
 
Apa yang pasti ialah BN bakal berhadapan dengan tuntutan dan desakan ekstremis Cina melalui Dong Zong yang sentiasa menangguk di air keruh dalam usaha mencapai matlamat perkauman Cina.  Di masa yang sama, BN akan diperhatikan secara dekat oleh pengundi Melayu yang meragui hala tuju parti pemerintah ini. 
 
Muslihatnya di sini ialah, BN tidak mampu lagi dilihat melebihkan satu-satua kaum dan meminggirkan kaum lain hanya kerana satu kaum itu begitu agresif mendesak. 
 
Justeru, keputusan BN meletakkan calon dari MCA, iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun, dilihat tepat dalam keadaan di mana MCA perlu membuktikan komitmennya,  kalaupun tidak kesetiaannya, kepada BN. 
 
Datin Paduka Chew Mei Fun pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama 2 penggal sebelum dikalahkan oleh Tony Pua dalam PRU 2008.  Beliau juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 
 
Melalui Chew Mei Fun, kita mengharapkan MCA mampu membawa semangat perikatan yang sebenar dalam PRK Kajang serta tidak lagi terikut-ikut rentak ekstremis Cina yang sering mendesak agar semua tuntutan mereka dipenuhi tanpa mengambilkira aspirasi dan identiti negara.   Politik perkauman sempit dan sikap angkuh kerana berjaya menguasai ekonomi negara yang diterapkan oleh pembangkang di kalangan masyarakat Cina perlu ditangani sebaik mungkin oleh Mei Fun agar tidak menyinggung pengundi Melayu. 
 
Dalam pada itu, kita lihat sebagai inilah masanya untuk MCA membawa masyarakat Cina kembali ke landasan setiakawan dan perpaduan.  Sekiranya MCA mampu mengembalikan sekurang-kurangnya 25% dari sokongan masyarakat Cina kepada BN, ia boleh dikira sebagai sudah cukup bagus kerana apa yang kita sasarkan bukan kuasa di Kajang tetapi keharmonian negara secara keseluruhan. 
 
Kita percaya, kebanyakan orang-orang Cina juga cintakan keamanan serta memahami hakikat bahawa masyarakat negara ini saling bergantungan.  Hak Istimewa Bumiputera pula adalah formula terbaik untuk mengekalkan keamanan itu.   Melalui PRK Kajang inilah diharapkan agar MCA dapat membantu masyarakat Cina menghayati keunikan ini serta menghargainya dan bukannya memusuhi setiap perkara yang berkaitan dengan Melayu, Raja-raja Melayu dan agama Islam sepertimana yang diterapkan oleh DAP. 
 
Mengambil hati pengundi tidak semestinya dengan memberi mereka apa yang mereka mahu, tetapi ia boleh dilakukan dengan mengajak mereka agar menghargai apa yang mereka ada. 
 
Kita harap Chew Mei Fun tidak akan menghampakan BN dan kita juga berharap agar Kajang bukanlah strategi awal untuk MCA menikam BN sekali lagi dalam PRU-14 nanti. 


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.