Dalam kita memperkatakan politik Malaysia yang 'huru-hara', kita sering terlupa kepada perkara yang lebih besar iaitu hala tuju negara, identiti dan pengisian jati diri anak bangsa. Kedua-dua pihak yang bertelagah kelihatan sibuk mencari publisiti, membina imej dan mempromosi diri bagi mencari populariti. Akibatnya, rakyat menjadi celaru, haru-biru dan buntu.
Dalam kegilaan politik ini, tidak mustahil kita terlepas pandang bahawa musuh telah pun mengambil tempat masing-masing tanpa kita sedari. Tidak mustahil juga mereka telah bersedia menuju ke puncak dengan berjalan betul-betul di hadapan mata sang papparazi.
Memerintah negara memerlukan kepimpinan yang mampu menyusun strategi. Seorang pengatur strategi yang baik pasti tahu bahawa perkara yang paling utama ialah 'jangan sekali-kali memandang rendah akan kemampuan musuh'. Justeru, adalah tidak salah kita berfikir atau berimaginasi tinggi dalam menjangka strategi musuh. Adalah lebih baik dianggap 'paranoid' daripada gagal membaca strategi musuh. Namun, apa yang lebih penting dari itu ialah kita harus tahu siapakah musuh kita dan apakah yang membezakan kita dengan mereka. Dari situlah kita boleh mengukur kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Dalam politik Malaysia, BN dan musuhnya PR, sudah tentulah berbeza dari segi gaya pemerintahan dan idea-ideanya. Sekiranya kedua-duanya membawa aspirasi yang sama, apa perlunya mereka bersengketa, bukan begitu?
Oleh itu, apakah yang membezakan BN dan PR? Apakah yang menyebabkan BN kekal memerintah sejak sekian lama? Siapakah yang mengundi BN dan kenapa?
BN yang dikenali oleh rakyat adalah parti yang berpegang teguh kepada perlembagaan dan yakin dengan formula yang menggariskan Hak Istimewa Bumiputera. BN meletakkan kesetiaan kepada Raja-raja Melayu sebagai tonggak utama. Identiti Malaysia di bawah BN adalah sebuah negara yang maju, bebas namun santun beradab, sejajar dengan adat resam Melayu, Asia dan juga agama Islam yang menjadi agama rasmi negara.
Malaysia di bawah BN tidak perlu tunduk kepada sesiapa, apatah lagi kuasa besar yang menyembelih dan menindas umat Islam di serata dunia. Malaysia di bawah BN adalah sebuah negara yang mengambil sikap berkecuali tetapi terbuka menerima nilai-nilai murni dari mana-mana negara atau tamadun serta menolak budaya barat yang tidak membawa apa-apa kebaikan untuk anak bangsa. Pun begitu, Malaysia di bawah BN bukanlah negara yang ekstrem dan rakyat Malaysia bebas berpesta dan bergembira asalkan tahu batasnya.
BN bukan parti pesta muda-mudi yang meletakkan 'gaya' di tempat utama tetapi sebuah parti yang bertanggungjawab yang meletakkan khidmat bakti sebagai tiangnya.
PR pada dasarnya adalah seratus peratus berbeza dari BN.
Parti DAP di dalam PR meletakkan penghapusan Hak Istimewa Melayu sebagai tonggak utama. DAP juga diketahui menentang Raja-raja Melayu. DAP secara terbuka menyuarakan hasrat untuk menghapuskan klausa Islam sebagai agama rasmi negara. DAP ingin menjadikan Malaysia seperti Singapura iaitu sebuah Republik tanpa Raja.
PKR pula secara terbuka mendokong kebebasan total ala barat. Pemimpin PKR tanpa segan silu duduk bersama-sama pejuang murtad dan LGBT. Malah, pemimpin tertinggi PKR sendiri menyatakan yang undang-undang Islam yang mengharamkan homoseksual adalah lapuk. Beliau juga terkenal dengan pendirian pluralisme iaitu menganggap semua agama adalah sama.
Selain itu, pemimpin tertinggi PKR juga merujuk kepada Paul Wolfowitz dan Al-Gore iaitu dua personaliti yang terlibat secara langsung dalam penyembelihan umat Islam di negara Arab sebagai 'sahabat'. Kedua mereka ini juga telah beberapa kali menghulur bantuan kepada pemimpin tertinggi PKR itu dalam berbagai cara; antaranya, memberi beliau pekerjaan sebagai Pensyarah di Amerika, berkempen menyokongnya di barat, memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia dan berbagai-bagai cara lagi yang sukar untuk dibayangkan oleh seorang rakyat biasa dari Malaysia.
Parti PAS, sebaliknya, membawa aspirasi yang langsung berbeza dengan DAP mahupun PKR kerana ia membawa slogan Negara Islam dengan undang-undang hudud sebagai matlamat utama. PAS berpendekatan ekstrem di mana parti itu ingin menghapuskan segala bentuk hiburan di dalam negara termasuk merobohkan kilang arak.
Walaubagaimanapun, itu cerita lama.
PAS hari ini sudah terlalu keliru, buntu dan tidak tahu lagi mana hendak dituju. Pemimpinnya telah tersesat jauh membontoti DAP, sementara penyokongnya pula termangu-mangu di belakang Anwar Ibrahim. Hari ini, PAS telah memilih untuk bersama pejuang murtad, LGBT, Kristian dan pastinya turut menikmati wang Yahudi. PAS sudah tiada pendirian mahupun maruah dan harga diri kerana semuanya sudah digadai, terbarai dalam kegilaan untuk merampas kuasa dari BN.
Hakikatnya, kewujudan PAS di dalam PR hanyalah sebagai pembekal pengundi dan penyokong buta tuli kepada gabungan parti pembangkang itu. Justeru, apapun pendirian PAS tidak akan membawa apa-apa makna kepada sesiapa. PAS boleh bertakbir, melalak dan berlakon apa saja, tetapi parti itu tidak mungkin dapat menentukan hala tuju negara sekiranya PR mengambil alih pemerintahan.
Secara ringkasnya, sekiranya PR menjadi pemerintah, maka Malaysia akan dibentuk mengikut acuan DAP dan PKR iaitu menjadi sebuah negara republik yang berpegang kepada pluralisme agama dan berfahaman liberal yang mana 100% berbeza dari pemerintahan BN.
Pendirian dan gaya pemerintahan inilah yang memastikan BN menang dalam setiap PRU. Malangnya, BN pada hari ini, tidak lagi sekuat dahulu.
Kedudukan BN menjadi rapuh apabila rakyat mengesyaki yang adanya usaha untuk mengubah pendirian dan gaya pemerintahan serta cenderung menyamai PR. Semakin perubahan itu ketara, semakin BN menjadi lemah sehingga akhirnya mencatat keputusan pilihanraya paling buruk dalam sejarah pada PRU-13.
Perubahan di dalam BN tidak mungkin berlaku secara semulajadi. Ia pastinya dibawa oleh pemikiran-pemikiran pro-PR yang kini, entah bagaimana, berada di dalam BN. Usaha mengubah BN menjadi PR cukup jelas apabila satu demi satu tuntutan PR dan NGO-NGO yang didalangi mereka dituruti oleh kerajaan, sekali gus menyebabkan rakyat semakin menolak BN.
BN dilihat 'takut' untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak penentang kerajaan, penghasut perkauman dan juga pencabar perlembagaan yang hampir semuanya mempunyai rangkaian terus kepada PR.
Walaupun PR dilihat semakin 'berkuasa' di dalam BN, namun parti itu tidak mampu bertindak lebih jauh melepasi halangan Raja-raja.
Dari situlah kita perlu mengambil serius akan idea si Hishamuddin Rais bahawa antara faktor utama Anwar Ibrahim ingin menjadi Menteri Besar Selangor ialah beliau ingin 'dekat' kepada Sultan dan Raja-raja Melayu. Idea Hishamuddin Rais ini kemudiannya dipetik pula oleh Lim Kit Siang di dalam blognya melalui tulisan Augustine Anthony.
Dengan minat yang ditunjukkan DAP mengenai Raja-raja secara tiba-tiba, maka kita sewajarnya memberi perhatian penuh kepada PRK Kajang. Walau betapa kecilnya kemungkinan yang Anwar mampu memberi kesan kepada Institusi Raja sekiranya beliau menjadi Menteri Besar, kita tidak harus mengenepikannya.
Jika ini benar, ia bermakna musuh telah berada di garisan pertahanan terakhir dan hanya menunggu masa untuk 'check-mate'. Dengan dana Selangor yang begitu banyak, tiada apa-apa yang mustahil lagi bagi orang yang gila kuasa seperti Anwar Ibrahim.
Mungkin ada yang berkata bahawa imaginasi penulis terlalu jauh dan tidak masuk akal, namun adalah lebih baik bagi kita untuk membaca segala kemungkinan dan bersedia menghadapinya - kecualilah, jika kita benar-benar tidak peduli atau sengaja ingin merelakannya.
Sekiranya kepimpinan BN serius untuk menentang Anwar dan ideologi PKR-DAP maka BN perlu terlebih dahulu mengembalikan kekuatan parti. Dan satu-satunya cara untuk mengembalikan kekuatan itu adalah dengan meletakkan Malaysia kembali di atas paksi asalnya.
Rakyat telah menolak PR kerana rakyat tidak gemar dan tidak yakin dengan aspirasi parti itu. Oleh itu, BN tidak perlulah meniru-niru parti yang ditolak kerana akibatnya BN akan turut ditolak. Ingatlah, golongan liberal, plural, LGBT bukanlah majoriti. Begitu juga dengan golongan korporat, konglomerat atau taikun-taikun - mereka bukannya mewakili majoriti. BN tidak perlu terikut-ikut cara PR mengambil hati mereka ini.
Cara BN sebelum ini sudah cukup baik dan terbukti membawa hasil yang berpanjangan kepada golongan korporat, konglomerat dan taikun-taikun tersebut serta seluruh rakyat dan negara.
Maka yakinlah dengan diri sendiri dan berdiri megahlah atas paksi yang dibina oleh datuk nenek moyang kita di dalam UMNO, MCA dan MIC. Tidak perlu diubah apa-apa yang tidak rosak - hanya perlu perbaiki
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.