Ahad, 11 Mei 2014
Ahli UMNO Perlu Sedia Berdepan Dengan Halangan Dan Cabaran Untuk Majukan...
Ahli UMNO Perlu Sedia Berdepan Dengan Halangan Dan Cabaran Untuk Majukan Parti:- DSD Mohd Najib Tun Razak
Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menganggap pelbagai cabaran dan halangan akan wujud dalam usaha untuk membangunkan sesebuah parti.
Justeru, beliau menyarankan semua ahli parti itu agar sentiasa sedar perkara itu dan segera memperbaiki kelemahan yang perlu.
"Tentu sekali kita akan berdepan cabaran dan permasalahan untuk kita terus maju dan membangun.
"Tetapi kita perlu sedar proses pembaharuan, penambahbaikan dan musahabah diri perlu dilakukan sepanjang masa.
"Ini untuk memastikan UMNO terus kekal relevan dan tetap unggul.
Mohd Najib menambah, dalam berdepan dengan setiap cabaran dan halangan, UMNO perlu melakukan proses transformasi dan adaptasi mengikut citarasa rakyat dan corak persekitaran politik semasa.
Katanya, dengan berbuat demikian, parti itu juga akan menjadi lebih kuat untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
"Kita perlu melakukan proses transformasi dan adaptasi supaya kita semakin hari semakin gagah dan kuat serta dilihat sebagai parti yang sentiasa dinamik," katanya sempena majlis perasmian Rumah UMNO Taiping di Taiping.
Tambahnya lagi,
UMNO tetap mengekalkan prinsip perjuangannya meskipun sudah 68 tahun penubuhannya.
"Prinsip yang kita perjuangkan sejak 68 tahun penubuhan parti UMNO masih kekal dan tidak berubah sehingga hari ini.
"Pendek kata, menobatkan maruah bangsa, agama dan negara tetap merupakan landasan dan prinsip perjuangan kita sehingga hari ini," ujarnya lagi.
Sementara itu, bangunan dikenali Rumah UMNO Taiping katanya, akan memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada pemimpin tempatan tetapi juga ahli ahli di peringkat akar umbi.
"Rumah UMNO Taiping ini bukan sahaja boleh dijadikan pejabat dan bilik mesyuarat tetapi juga boleh digunakan sebagai tempat untuk percambahan fikiran serta merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
"Di samping itu, ia juga dilihat sebagai aset yang penting di mana kita boleh menggembleng tenaga dan aspirasi untuk bekerja lebih kuat bagi memenangi PRU-14 nanti," katanya.