Ahad, 25 Mei 2014
#PRKTelukIntan: Pengundi luar perlu fikir masa depan penduduk setempat
Pengundi dari luar Teluk Intan perlu memikirkan kesan dan kepentingan masa depan penduduk setempat apabila mereka memutuskan wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan, 31 Me ini.
Penasihat Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata kira-kira 5,000 daripada 60,349 pengundi Teluk Intan yang tinggal di luar perlu ‘lebih belas kasihan’ dalam mengambil kira masalah yang dihadapi oleh penduduk tetap di sini.
“Ada daripada pengundi luar jarang balik ke kampung dan tidak memahami isu yang dihadapi oleh penduduk Teluk Intan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata malah mereka tidak boleh berpegang kepada konsep ‘ubah’ yang dipromosikan oleh parti pembangkang kerana ini bukan pilihan raya umum yang boleh memberi kesan kepada tampuk pentadbiran negara.
Ini hanya pilihan raya kecil yang tidak akan mengubah kerajaan tetapi mampu mengubah masa depan penduduk Teluk Intan, katanya.
Chang berkata pengundi Teluk perlu mengambil iktibar daripada wakil rakyat DAP dari luar kawasan iaitu M. Kulasegaran yang menang pilihan raya kecil kerusi itu pada 1997 dan M.Manogaran dari Kuala Lumpur, pada pilihan raya umum 2008, yang jarang kelihatan di Teluk Intan selepas memenangi kerusi itu.
“Jangan berikan pengalaman sedemikian berulang kembali,” katanya.
Beliau berkata calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong iaitu Presiden Gerakan tidak akan mengabaikan kawasan itu kerana keluarga, rakan dan rumahnya adalah di sini.
Ditanya sama ada insiden sekumpulan kecil ahli Pemuda UMNO menyerbu masuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Rabu lepas, akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya kecil Teluk Intan, beliau berkata:
“Kami mengambil berat tetapi pengundi Teluk Intan adalah berbeza kerana mereka lebih mementingkan tokoh yang bertanding dan masa depan Teluk Intan dan bukan isu-isu seperti itu.”
Insiden di DUN Pulau Pinang tercetus selpas ADUN Seri Delima dari DAP, R.S.N Rayer didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin UMNO ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Selasa lepas.
Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Teluk Intan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP Dyna Sofya Mohd Daud.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP, pada 1 Mei lepas.