KOTA KINABALU – Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (Concerns) hari ini membuat laporan polis terhadap seorang anggota Parti Reformasi Negeri (Star) kerana mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam.
Laporan polis dibuat oleh Pengerusi Concerns, Sainuri Yahmin di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini kira-kira pukul 10.30 pagi terhadap anggota parti berkenaan, David Orok.
“Kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh individu tidak bertanggungjawab ini adalah serius dan sengaja dibuat untuk membangkitkan kemarahan umat Islam selain kekecohan dan perpecahan kaum,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.
David juga merupakan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Sulaman pada pilihan raya umum lalu.
Sainuri berkata beliau mewakili gabungan itu dan umat Islam meminta agar polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan segera serta tegas ke atas David.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Putatan turut membuat laporan polis berhubung insiden sama.
Ketuanya Ir Shahelmey Yahya berkata tindakan David itu dikhuatiri akan mencetus perbalahan antara masyarakat berlainan kaum dan agama.-Bernama.