Ahad, 14 September 2014

Kemalangan yang meragut dua nyawa



Dua wanita maut manakala lapan yang lain cedera ringan selepas kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan lain di Kilometer 249.2 Lebuh raya Utara-Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.

Jurucakap polis berkata dalam kemalangan pada pukul 1.40 pagi itu berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Sungai Perak, Salmah Ahmad, 46, dan Jemah Mat Nata, 61, maut di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah kesan rempuhan itu.

Salmah beralamat di Kampung Kelian Sungai Ara, Batu Kurau, sementara Jemah dari Taman Kami 8, Aulong, Taiping.

"Kenderaan van jenis Toyota yang dinaiki kesemua mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai hilang kawalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata van tersebut dalam perjalanan dari Batu  Kurau menuju ke Rawang, Selangor membawa 10 orang termasuk pemandu manakala Honda yang dinaiki dua orang itu pula dari Pulau Pinang ke Ipoh.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Mangsa yang cedera ringan dibawa ke hospital sama dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, katanya. – Bernama, 14 September, 2014.