Jumaat, 14 November 2014

PGSM mahu bantu k'jaan rayu kes transgender





5:26PM Nov 13, 2014


Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini menubuhkan kumpulan 'Lawyers For Islam' untuk membantu pihak berkaitan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung kes golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam.

Setiausahanya Moeis Basri berkata kumpulan itu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam, namun berpendapat kes itu perlu didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan kerana perbuatan tersebut melanggar syariat Islam.

"Walaupun menghormati keputusan mahkamah, PGSM berpendapat perlunya keputusan itu dirayu dan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan untuk isu tersebut diberi pertimbangan semula dari segi aspek undang-undang yang sah dan terpakai di Malaysia.

"Melalui kumpulan ini, kita akan bertemu dan membantu kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri dan institusi berkaitan Islam yang terlibat untuk membentangkan aspek perundangan yang berkaitan dalam prosiding mahkamah tersebut," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Beliau berkata kumpulan 'Lawyers For Islam' yang dianggotai peguam dari mahkamah sivil dan syariah itu juga akan bertindak sebagai 'Rapid Response Team' bagi memberi maklum balas terhadap isu-isu semasa berkaitan agama Islam.

Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan tidak sah di sisi Perlembagaan.

Panel tiga hakim mahkamah itu yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat ketetapan tersebut selepas membenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

Berikutan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan