Ahad, 22 Mei 2016

Jawapan balas oleh menteri kerja raya kepada Pulau Pinang

DATO' LOKMAN ADAM:
Kenyataan Media Menteri Kerja Raya

22 Mei 2016

Saya mengambil maklum kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng hari ini yang akan menghantar surat kepada saya minggu hadapan bagi memohon pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang.

Saya mengalukan surat itu.

Pada masa sama, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Lim kerana mengesahkan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak atau memberi kesukaran kepada kerajaan Pulau Pinang bagi menerima kelulusan membina jambatan ketiga sehingga memaksa kerajaan Pulau Pinang membina terowong bagi menggantikannya.

Saya juga mengambil maklum YAB Lim turut mengakui semalam beliau tidak mempunyai keberanian secukupnya untuk mengemukakan pernohonan bagi kelulusan seumpama itu sebelum ini, biarpun fakta yang diakui beliau, kos membina jambatan adalah lebih rendah sehingga RM2 bilion daripada pembinaan terowong.

Kerajaan Persekutuan pada dasarnya dan kementerian ini khususnya komited dalam meningkatkan infrastruktur awam di Malaysia. Sebagaimana permohonan atau cadangan bagi projek pembinaan, kementerian ini akan membuat penilaian bagi setiap projek berdasarkan manfaatnya dan kos jangka panjang serta kebaikan untuk rakyat.

Pada masa sama, ia termasuk permintaan daripada kementerian kepada kerajaan Pulau Pinang untuk turut mengemukakan kesemua dokumen berkaitan dengan permohonan mereka, termasuk kajian tiga projek yang menelan kos RM305 juta, di mana saya difahamkan sudah disiapkan atau hampir disiapkan, yang telah dilantik Kerajaan Pulau Pinang serta sudah dibayar.

DATO' SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
Menteri
Kementerian Kerja Raya Malaysia