Ahad, 26 Jun 2016

DISKAUN TOL 10% DI KLK DAN LPT 1 DAN JADUAL PERJALANAN SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI



Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan inisiatif berikut:


1. Diskaun sebanyak 10% untuk semua pengguna yang membuat bayaran secara elektronik di KLK dan LPT1. Diskaun itu akan ditawarkan secara 24 jam, bermula jam 12.00 pagi hari Rabu, 6 Julai 2016.


2. Mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu

puncak di musim cuti perayaan Aidilfitri.


Pengarah ANIH Berhad, En Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein dalam satu kenyataan berkata, semua pengguna lebuh raya, khususnya di LPT 1 digalakkan untuk membuat bayaran tol secara elektronik bagi memperoleh manfaat diskaun selain membantu perjalanan menjadi lebih mudah.


"Diskaun ini sebahagian komitmen tanggungjawab sosial ANIH Berhad kepada pengguna KLK dan LPT 1 selain sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang sentiasa menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya kami," katanya.


Dalam masa yang sama, En Nik Fauzi juga menasihati pengguna lebuh raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah selain peka dan berhati-hati khususnya ketika pulang ke kampung halaman dan kembali semula ke Kuala Lumpur (KL).


Jadual TTA Aidilfitri 2016 untuk pengguna KLK dan LPT 1 pula memberi penekanan trend perjalanan yang akan bermula dari 2 hingga 3 Julai 2016 (bagi yang ingin pulang ke negeri di Pantai Timur), dan 9 hingga 10 Julai 2016 (untuk pengguna kembali semula ke ibu kota).


"Kami menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan KLK dan LPT 1 pada waktu puncak akan meningkat kepada 264,258 kenderaan sehari. Ia merupakan peningkatan sebanyak 87% berbanding hari-hari biasa, iaitu sebanyak 141,000 kenderaan sehari.


Waktu puncak dijangka akan bermula pada 1 hingga 3 Julai 2016 dan 8 hingga 10 Julai 2016," katanya.


Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.


Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.


Pengenalan TTA bertujuan untuk menyuraikan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.


Dalam pada itu, pengguna juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di KLK dan LPT 1 menerusi laman sosial Twitter di akaun @LPTTrafik atau Facebook di akaun Lebuhraya Pantai Timur, talian LPT-Line 09-547 9111, papan tanda elektronik di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan