Isnin, 24 Oktober 2016

Pembangkang di Malaysia Mudah Panas Telinga



Semasa pembentangan Bajet 2017 yang berlangsung Jumaat lalu, antara perkara yang begitu hangat diperkatakan adalah bagaimana tindakan majoriti Ahli Parlimen Pembangkang yang bertindak kebudak-budakkan, meninggalkan Dewan Rakyat tanpa alasan yang munasabah.

Ada dua atau tiga alasan yang diberikan. Sebagai contoh, Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah memberikan alasan, tindakan mereka meninggalkan Dewan rakyat dibuat kerana mereka kecewa pembentangan bajet berkenaan langsung tidak mengulas mengenai isu 1MDB dan siapa Malaysia Official 1.

Ini berlainan pula dengan alasan yang diberikan oleh DAP yang mendakwa, mereka berang apabila Datuk Seri Mohd Najib dilihat menempelak mereka semasa pembentangan bajet itu dilakukan.

Melihat kepada dua alasan berbeza ini, jelas menunjukkan Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya langsung tidak boleh menerima kritikan terbuka terhadap mereka.

Bagi pembangkang, apa yang mereka lakukan adalah betul dan tepat sesuai dengan kehendak rakyat tanpa boleh dipersoalkan.

Namun begitu, melihat kepada ucapan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib, beliau hanya membentangkan keadaan semasa negara tanpa mengkhususkan hentamannya kepada sesiapa yang berada di dalam dewan.

Adakah disebabkan Datuk Seri Mohd Najib membentangkan keadaan semasa ekonomi negara yang berlawanan dengan dakwaan pembangkang sebelum ini, ia telah menyebabkan mereka panas telinga dan meninggalkan Dewan?

Jika inilah yang berlaku, adalah menjadi kesilapan besar buat penduduk di 87 buah Parlimen yang melantik pemimpin seperti ini untuk menjadi wakil mereka di Parlimen. Sepatutnya, sebagai Ahli Parlimen yang professional dan matang, mereka harus menunjukkan sikap hormat kepada kawan dan lawan mereka di Parlimen. Bukannya bertindak seperti kebudak-budakkan seperti ini.

Ini bukan kali pertama barisan pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat sepanjang Wan Azizah menjadi Ketua Pembangkang.

Jelas sekali, selain daripada terlalu mudah panas telinga, hati mereka juga seperti tisu setelah pembangkang di Parlimen ini diketuai oleh seorang wanita. Pendekatan, jika tidak suka ambil tindakan keluar, samalah seperti yang berlaku kepada pasangan suami isteri, asal bergaduh, keluar rumah.

Jika ini yang mereka amalkan sepanjang menjadi pembangkang untuk penggal ini, pastinya tiada apa yang dapat mereka seimbangkan dalam amalan demokrasi berParlimen di negara ini.

Tulisan :
Beruang



Sent from Samsung tablet.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan