Rabu, 24 Mei 2017

Taiping famous dengan pusat judi haram



22 Mei - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta pihak berkuasa bertindak tegas menghentikan operasi di premis mesin judi haram yang makin berleluasa di daerah ini.


NGO berkenaan termasuk Pertubuhan Belia Warisan Melayu, Parlimen Belia Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak, Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Gantang dan Pergerakan Puteri UMNO Bukit Gantang.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohd. Adri Adha Mohamad mendakwa, berdasarkan pemantauan sejak dua bulan lalu, pihaknya mendapati wujud premis judi haram di Taiping serta Larut, Matang dan Selama


Dakwanya, pemilik premis haram tersebut dikesan semakin berani apabila turut mengiklankan kegiatan mereka di media sosial.

Katanya, menyedari kegiatan mereka dipantau, sekitar 30 premis perjudian yang beroperasi di kawasan itu telah menutup operasi mereka.

"Namun dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, kami mengesan aktiviti judi mesin haram ini telah beroperasi semula. Apa yang membimbangkan ia beroperasi di dalam kawasan pusat beli belah terkemuka dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat permainan kanak-kanak.

"Pusat mesin judi haram ini dibuka secara terang-terangan di kawasan yang menjadi tumpuan ramai sehingga menimbulkan persepsi negatif dan pelbagai persoalan dari masyarakat," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Rakan Muda, Kamunting dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Belia Warisan Melayu, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Menurut Mohd. Adri, melihatkan kegiatan itu semakin serius tanpa ada tindakan tegas daripada pihak berwajib, pihaknya akan membuat laporan polis esok.

"Kami juga akan mengemukakan laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat perkara ini," katanya.

Sementara itu, Mohammad Sollehin berkata, kewujudan semula aktiviti premis mesin judi haram di kawasan ini menimbulkan persoalan kepada masyarakat bagaimana pengusaha mesin judi ini boleh menjalankan aktiviti mereka di kawasan tumpuan ramai.

Dakwanya, sedangkan kerajaan negeri telah mengumumkan tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan dan semakan di Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mendapati premis terlibat tidak diberikan lesen.

"Sudah pasti ada dalang di sebalik aktiviti ini. Kami berharap pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas menghentikan aktiviti perjudian ini dengan segera apatah lagi menjelang Ramadan," katanya. - UTUSAN