Rabu, 7 Jun 2017

RTM : SIARAN LANGSUNG - PELANCARAN MY FREEVIEW OLEH PERDANA MENTERI MALA...








KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini membuka lembaran baharu dunia penyiaran negara dengan melancarkan perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview yang boleh dinikmati secara percuma oleh rakyat.

Ini secara rasmi menandakan industri penyiaran negara kini bertukar daripada analog ke sistem digital dalam usaha kerajaan menyediakan khidmat penyiaran televisyen dan radio terbaik untuk rakyat.


Sehubungan itu, Najib mengumumkan 4.2 juta dekoder percuma untuk diagihkan kepada mereka yang layak termasuk golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bilangan itu merangkumi 2.2 juta set dekoder percuma sumbangan kerajaan sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT.

"Kerajaan melalui SKMM telah melantik syarikat MYTV pada 2014 sebagai pemegang lesen penyedia infrastrukur tunggal dan MYTV bertanggung jawab untuk membina dan mengendali infrastruktur myFreeview untuk tempoh 30 tahun akan datang."

"Pemberian dekoder percuma ini membolehkan mereka menikmati Siaran Digital myFreeview yang percuma tanpa yuran bulanan. Pemberian dekoder percuma ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga suku kedua 2018," katanya ketika berucap melancarkan myFreeview, di sini.

Najib berkata pemberian dekoder percuma kepada isi rumah yang layak daripada senarai BR1M itu antara lain bagi mempercepatkan proses migrasi daripada analog ke digital dan berbanding negara-negara maju serta tetangga dalam ASEAN, Malaysia merupakan negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan.

Perdana menteri berkata myFreeview termasuk dalam Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang bakal membolehkan kerajaan meraih pulangan dividen digital dengan pelepasan spektrum yang diguna pakai oleh penyiaran TV analog selama ini.

Katanya, spektrum tersebut akan diperuntukkan semula bagi tujuan perkhidmatan komunikasi moden yang lain seperti menambah baik rangkaian selular dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi.

Najib menegaskan, projek di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah sebahagian daripada agenda nasional untuk mentransformasikan industri penyiaran negara melalui pendigitalan dengan tujuan mempertingkatkan taraf hidup rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

Siaran myFreeview menawarkan semua saluran TV terestrial percuma sedia ada iaitu TV1, TV2, TVi, TV3, ntv7,8TV,TV9, TV AlHijrah dan Bernama News Channel (BNC) dalam kualiti digital dan banyak lagi saluran TV serta perkhidmatan interaktif bakal diperkenalkan kelak.

Bagi menikmati siaran digital, orang ramai hanya perlu mendapatkan alat penerima, iaitu dekoder MYTV (jenis DVB-T2) yang kini boleh didapati di kedai-kedai elektronik di seluruh negara, dan disambungkan kepada set televisyen.

"Pada masa akan datang penonton juga mempunyai akses kepada perkhidmatan televisyen interaktif termasuk membeli-belah di rumah, menonton video atas permintaan dan perkhidmatan langganan dan internet TV bergerak (mobile TV), UHD TV dan TV shopping," kata Najib.

Beliau berkata penyiaran myFreeview akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi industri kandungan, kreatif dan elektronik selain meningkatkan pembangunan modal insan dalam bidang industri kreatif.

"Penyiar televisyen tempatan turut meraih manfaat kerana mereka diberikan peluang baharu untuk memperluaskan jangkauan penonton dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka," tambahnya.

Najib berkata transformasi penyiaran TV terrestrial digital ini adalah merupakan perkembangan dan fenomena sedunia dengan lebih 60 negara-negara maju telah melaksanakan migrasi penyiaran analog ke TV digital sejak 2007.

Perdana menteri berkata negara-negara ASEAN telah menetapkan penutupan penyiaran TV analog secara berperingkat antara 2015 sehingga 2020 seperti Singapura yang menetapkan penutupan penyiaran analog pada 2017 manakala Malaysia menyasarkan tarikh penutupan penyiaran TV analog pada Jun 2018.

"Malaysia sebenarnya kini mengorak langkah dengan lebih pantas dalam membangunkan ekonomi digital yang mana sektor digital ini adalah merupakan aspirasi kepada pertumbuhan dua angka Malaysia.

"Ini merupakan satu lagi inisiatif negara dalam melangkah ke era digital selaras dengan hasrat kerajaan untuk membolehkan kita mengambil bahagian dalam kerancakan ekonomi digital," tambahnya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan