Jumaat, 29 September 2017

Betulkah Pas takut kepada saringan SPRM

Pas seolah-olah takut dengan ‘bayang-bayang’ sendiri apabila membantah saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya parti-parti politik menyerahkan senarai calon mereka yang bertanding dalam PRU14 untuk saringan agensi itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan hari ini menolak saranan SRRM itu yang dianggapnya sebagai mencampuri urusan parti-parti politik.

“SPRM sepatutnya kekal bebas dan tidak perlu masuk campur urusan parti-parti politik.

“Walaupun yang menentukan calon masih parti-parti politik, tetapi SPRM berupaya mempengaruhi keputusan pemilihan calon dengan ulasan-ulasan mereka.

“Biar parti-parti politik membuat keputusan mereka sendiri dan menanggung apa sahaja kesan dari keputusan yang dibuat,” katanya.

Selain itu, dalam kenyataan yang sama, Iskandar seolah-olah menempelak SPRM apabila meminta badan itu memberikan tumpuan menyelesaikan kes-kes rasuah yang masih banyak belum diselesaikan.

“Terdapat banyak kes-kes rasuah yang masih belum diselesaikan. Beri tumpuan kepada kes-kes tersebut, bukan menentukan siapa calon,” katanya.

Iskandar berkata sedemikian susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad semalam yang dilaporkan menggalakkan semua parti-parti politik menyerahkan nama-nama calon mereka untuk PRU14 untuk disaring agensi itu bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih bebas daripada unsur rasuah dan salah guna kuasa. – SelangorPost.