Rabu, 15 November 2017

Isu Tudung : Batalkan pendaftaran Persatuan Hotel Malaysia



Menteri pelancongan dan kebudayaan menyifatkan tindakan hotel melarang pekerja wanitanya bertudung sebagai kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

Datuk Seri Nazri Aziz berkata, dasar itu jelas bertentangan kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kurang ajar dan tidak bertanggungjawab. Kalau benar ini satu arahan, ia jelas melanggar Perlembagaan negara. Setiap negara mempunyai undang-undang tubuh, apa-apa aktiviti dilakukan haruslah tidak bertentangan.

“Adakah kalau telanjang dan berbogel itu lebih baik daripada bertudung jika duduk di kaunter? Kalau ada rakyat Malaysia hendak pertahankan, dia kurang ajar,” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur di Parlimen hari ini.

Sementara itu Pemimpin Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii hari ini mendesak kerajaan supaya membatalkan pendaftaran Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berhubung tindakan yang melarang pekerja wanita Islam yang bertudung daripada berkhidmat di kaunter hadapan.

Beliau merujuk kenyataan Pengerusi MAH, Cheah Swee Hee yang dilaporkan mempertahan tindakan operator hotel yang menetapkan dasar berkenaan atas alasan setiap hotel terutamanya hotel antara bangsa mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

“Jangan bagi muka kepada Persatuan Hotel Malaysia yang menyokong hotel-hotel yang mendiskriminasi pekerja wanita Islam,” kata Razlan dalam satu kenyataan media petang ini.

Beliau berkata persatuan itu telah diberikan banyak keistimewaan tetapi tindakannya yang menyokong diskriminasi ke atas wanita Islam bertudung di tempat kerja adalah satu tindakan yang perlu dikaji di mana hala tujunya.

“Persatuan ini sepatutnya bertindak lebih terbuka untuk mengamit budaya Islam yang ada di Malaysia, majoriti rakyat di Malaysia adalah Islam dan sepatutnya hala tuju yang hendak dibawa adalah memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam.

“Tindaakan diskriminasi ini menunjukkan sikap yang anti kepada Islam dan kerajaan perlu mengkaji persatuan-persatuan yang anti Islam,” katanya.

NOTA LUTUT:
Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan budaya. Sepatutnya kepelbagaian ini dapat ditonjolkan dalam industri perhotelan. Jika kita ke negara Thailand mereka sangat mengutamakan budaya berpakaian tradisi mereka di dalam urusan harian hotel, daripada penyambut tetamu hingga ke bahagian pendaftaran masuk kita akan lihat mereka memperagakan budaya mereka. 

Kenapa di Malaysia nak ikut budaya barat? Nampak sangat betapa sengkeknya pemikiran Persatuan Hotel Malaysia...