Isnin, 6 November 2017

MANA KAWAN-KAWAN LIM GUAN ENG?









Sejak akhir-akhir ini, Pulau Pinang sering dilihat menjadi negeri paling kerap dilanda banjir kilat walaupun tanpa hujan yang lebat dan berterusan. Contohnya pada 21 September 2017, Pulau Pinang dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan lebih 50 kawasan dinaiki air.

Kini sekali lagi Pulau Pinang diuji dengan bencana banjir kilat. Dan situasi kritikal di sana merupakan kejadian banjir paling buruk dalam sejarah Pulau Pinang

Di mana silapnya sehingga akhirnya rakyat Pulau Pinang terpaksa menanggung akibatnya?

Tidak dapat dinafikan, selain daripada faktor alam, salah satu puncanya juga ialah pembangunan tidak terkawal yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri sehingga mengabaikan faktor alam sekitar telah banyak menyebabkan Pulau Pinang terlibat dalam krisis hebat bersama alam pada hari ini.

Sehinggakan kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini juga sebenarnya boleh dielakkan jika Kerajaan Negeri mengambil kira pandangan dan keluh kesah yang dilontarkan oleh rakyat serta risiko yang bakal diterima bagi projek tersebut.

Pembangkang sentiasa beretorik meletakan kepentingan rakyat yang paling utama. Tetapi di mana mereka apabila rakyat mahu memerlukan mereka tatkala mereka sudah berjaya menjadi kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang?

Kejadian di Pulau Pinang ini benar-benar menguji keegoan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Ketika Pulau Pinang diuji, siapa yang beliau cari?

Kawan atau lawan?

Sudah tentu akhirnya lawan beliau sendiri yang membantu tanpa prejudis. Mengenepikan ideologi politik dan fahaman bagi sama-sama membantu rakyat Pulau Pinang yang terjejas teruk akibat bencana ini.

Malah, Lim Guan Eng sendiri mengucapkan penghargaan terima kasih kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengangkat panggilan telefon pada jam 3.30 pagi dan terus mengerakkan bantuan ke Pulau Pinang.

Malah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menjadi pasukan terawal yang digerakkan bagi membantu dan mengawal situasi di Pulau Pinang. Selain daripada itu, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan NGO yang kini telah pun berada di sana bagi menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk.

Dato’ Mohamed Khaled Nordin melalui Kerajaan Negeri Johor juga antara negeri terawal yang mengumumkan penghantaran terus 200 Sukarelawan Darul Ta’zim bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Melihat kepada situasi ini, ia jelas, dalam soal kemanusiaan dan kepentingan rakyat, ia menggambarkan keperihatinan yang sangat tinggi daripada pihak Kerajaan kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi politik. Waima ia melibatkan negeri pembangkang sekalipun.

Di mana kawan Lim Guan Eng?

Ketika pelbagai pihak mengetepikan sentimen politik dan ideologi, mengutamakan kepentingan rakyat Pulau Pinang. Kami tertanya-tanya, di mana kawan-kawan sekapal Lim Guan Eng?

Kami melihat Lim Guan Eng begitu keseorangan dalam menghadapi ujian ini. Kecuali Azmin Ali sahaja dikalangan pemimpin pembangkang yang agak ke hadapan dalam membantu dan menzahirkan simpati ke atas kejadian yang menimpa Pulau Pinang.

Majoriti kawan-kawan Pakatan Harapan Lim Guan Eng seperti tidak mengambil peduli tentang situasi yang melanda Pulau Pinang.

Mereka lebih cenderung dan radikal bagi terus menyerang Kerajaan dalam pelbagai isu tanpa ada sedikit pun moral sensitiviti bagi sama-sama mengetepikan seketika perbalahan ideologi politik dan menumpukan usaha membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Jika Pakatan Harapan boleh bersatu hati dan tenaga meredah pelbagai cabaran mengadakan pelbagai demonstrasi menjatuhkan Kerajaan sehingga sanggup bertempur dengan pihak berkuasa, mengapa tidak sanggup mengotorkan pakaian dan mengorbankan tenaga membantu mangsa banjir di Pulau Pinang?

Jika Invoke boleh meraih simpati mengutip derma berjuta-juta ringgit semata-mata tidak mahu melihat Rafizi Ramli jatuh muflis, mengapa tidak boleh mengumpul dana bagi membantu rakyat Pulau Pinang yang jatuh dilanda musibah?

Jika PPBM boleh menggunakan DAP bagi kepentingan politik, mengapa apabila DAP dalam musibah tiada pula ultra Melayu PPBM menjadi skuad paling hadapan membantu Lim Guan Eng?

Di mana Mat Sabu dan PAN yang ditatang minyak yang penuh oleh DAP? Sehingga pada suatu ketika kelompok ini sudah mampu mendampingi Tun Mahathir ibarat kacang lupakan kulit.

Begitulah gambaran kawan-kawan Lim Guan Eng ketika ini. Hidup mereka 7 hari seminggu, 30 hari sebulan dan 365 setahun hanya berpolitik semata-mata.

Tiada langsung sifat ihsan terhadap insan dalam diri mereka. Politik dan kuasa sudah jadi iman dan panduan semata-mata.

Bertabahlah Pulau Pinang. Semoga Allah sentiasa merahmati dan membantu segala urusan semua pihak di sana.

Fikri Allaudin
Persatuan Pemikir Muda Johor