Selasa, 14 November 2017

Syukur ! PM DS Najib berjaya lembutkan hati Aung San Suu Kyi








Nov 13- Selesai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di Vietnam, saya langsung ke Manila pula untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 yang bertemakan ‘Perkongsian Bagi Perubahan, Mendepani Cabaran Dunia’ bersama ramai rakan-rakan pemimpin lain.


Hari pertama semalam dimulakan dengan Sidang Kemuncak Pleno ASEAN ke-31 di mana intervensi saya berkisar kepada beberapa perkara seperti pelaksanaan ASEAN Community Vision 2025 untuk mencapai matlamat ASEAN sebagai kawasan yang stabil dan makmur.


Selain itu saya turut menekankan kepentingan jati diri ASEAN atau ‘Aseanness’ dalam diri setiap rakyat negara anggota ASEAN yang pada masa kini masih belum sampai ke tahap yang memuaskan.


Saya juga membangkitkan isu kesalahan seksual kanak-kanak, sesuatu yang melangkaui sempadan dan perlu dipandang serius oleh semua, sebagaimana yang telah Malaysia lakukan melalui Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.


Insya-Allah, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada seminar ASEAN berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak pada tahun hadapan.


Berkaitan isu pelarian Rohingya dan negeri Rakhine, saya menegaskan bahawa sebagai sebuah organisasi kita tidak boleh berdiam diri kerana dunia sedang menanti respon daripada ASEAN terhadap krisis ini.


Oleh itu, kita mesti melakukan sesuatu, apatah lagi apabila masalah ini menyebabkan penghijrahan pelarian yang ramai, termasuk ke Malaysia, dan lebih membahayakan lagi, para pelarian ini berpotensi terpengaruh dengan IS atau DAESH.


Apabila saya membangkitkan isu Rohingya ini, Aung San Suu Kyi dalam jawapannya telah memberi respon dengan menyatakan Kerajaan Myanmar sedang merundingkan MoU dengan Kerajaan Bangladesh bagi menentukan penghantaran pulang pelarian ke negeri Rakhine. MoU ini akan ditandatangani tidak lama lagi.


Saya terima dengan baik apa yang dinyatakan oleh Aung San Suu Kyi, dan sekurang-kurangnya, dalam persidangan kali ini isu ini dibangkitkan dan dibincangkan secara terbuka, bukan seperti dalam persidangan April lalu apabila ia langsung tidak disebut.


Lebih jelas bahawa kini ada perkembangan positif, namun masih teralu awal untuk kita katakan ia sudah selesai sepenuhnya, perkara in akan mengambil masa.


Hari ini juga telah berlangsungnya Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun ke-40 ASEAN-Amerika Syarikat, di mana Malaysia berperanan sebagai penyelaras negara dalam Dialog Hubungan ASEAN-Amerika. Presiden Trump turut memuji Malaysia sebagai penyelaras yang cemerlang.


Dalam intervensi saya, saya menyatakan bahawa kerjasama ASEAN-Amerika Syarikat telah berkembang dari masa ke masa dan semakin kukuh pada November 2015 ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN.


Meskipun pucuk kepimpinan Amerika Syarikat telah berubah, ASEAN masih kekal rantau penting bagi Amerika Syarikat dalam pelbagai sektor, dikukuhkan lagi dengan kehadiran Presiden Trump pada sidang kemuncak kali ini.


Seterusnya dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-20, saya menyatakan bahawa negara China telah memberi kerjasama yang sangat positif kepada ASEAN dan bukti yang sangat jelas adalah inisiatif One Belt One Road atau OBOR yang dapat kita lihat impaknya begitu besar kepada ASEAN dengan Malaysia antara negara yang banyak menerima faedah daripadanya.


Saya juga menekankan kepentingan kerjasama dengan negara China diperluaskan terutamanya dalam bidang pelancongan, kerana tahun ini sahaja 150 juta rakyat China akan keluar melancong, dengan banyak lagi pada tahun hadapan.


Bermakna, ASEAN perlu mengambil kesempatan ini menjadi destinasi pilihan mereka, dan ini akan memberi pulangan besar buat kita, terutamanya untuk para peniaga tempatan.


Manakala dalam isu Laut China Selatan, boleh dilihat bahawa negara China kali ini lebih positif, dan tidak mahu kawasan ini menjadi kawasan tegang, lantas memberi jaminan kebebasan pelayaran serta memelihara ia sebagai zon dan kawasan keamanan dan keselamatan.


Secara keseluruhan, Alhamdulillah, banyak yang berjaya dibincangkan dan dicapai dalam hari pertama semalam. Insya-Allah, jika kita terus berusaha meletakkan kepentingan bersama negara dan rakyat kesemua negara, masa depan ASEAN akan terus cerah buat semua di dalamnya. NAJIB RAZAK