Jumaat, 29 Disember 2017

JAWAPAN RINGKAS LOKMAN ADAM KEPADA MANIFESTO MEMBENTERAS NAJIS RASUAH OLEH PAKATAN HARAPAN


Saya hampir hendak tergelak membaca 5 teras manifesto Pakatan Harapan “Bersihkan Malaysia Dari Najis Rasuah” yang dilancarkan di Parlimen baru-baru ini.  Agak melucukan kerana ianya dilancarkan oleh Tun Mahathir dan Pimpinan Pakatan Harapan yang tidak ubah seperti Manifesto Penyamun Berjanji Hendak Membersihkan Malaysia dari Penyamun.  Betulkan saya kalau saya silap :-

1. Kalau Pakatan menang PRU14, Tun M akan dinobatkan menjadi Perdana Menteri.  Bukankah ketika Tun M menjadi Perdana Menteri beliau terkenal dengan Dasar Anak Didahulukan, Kroni Diutamakan.  Pernahkan Tun M jelaskan macamana anak-anaknya boleh jadi billionaire sekelip mata semasa zaman beliau menjadi PM. Tengok sahaja gambar rumah anak-anaknya yang ditularkan oleh netizen di media sosial. Ini belum lagi mengambil kira gambar kemewahan yang dipamirkan oleh cucu-cucunyq di instagram.  Umum juga tahu kenapa Tun M beria sangat membelasah Dato’ Sri Najib bila satu persatu kroninya sudah tidak boleh cari makan apabila IPP mereka, syarikat perjudian mereka dan pelbagai projek milik kroni Mahathir dihentikan atau diagihkan semula kepada rakyat secara tender terbuka.
2. Kalau Tun M mati, Timbalannya Datin Sri Dr Wan Azizah akan menjadi Perdana Menteri, sementara menunggu suaminya menamatkan hukuman penjara dan tempoh edah 5 tahun atau sementara menunggu pengampunan diRaja.  Bagi rakyat biasa yang melihat dari kacamata orang luar, sudah pasti beliau dikenali dengan watak lemah-lembut, mempunyai sifat keibuan yang tinggi dan sudah pasti ramai akan menyangka wanita ini bersih dari sebarang sifat negatif.  Tidak perlulah saya ulas tentang hal lain, memadailah jika Wan Azizah boleh menjawab kenapa dia pecat saya dari Parti Keadilan bila saya mempertikai tentang dana USD 200,000 yang dia terima dari Joseph Estrada, Presiden Filipina ketika itu dan 5 juta ringgit dari Dato Soh Chee Wen tahun 1999 yang langsung tidak dimasukkan ke dalam akaun parti.  Bila saya menegur penyelewengan beliau dan Ketua Pemuda Keadilan ketika itu, Ezam Md Nor, saya dipecat dari parti.  Kalau saya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Setiausaha Pemuda Keadilan boleh ditendang sewenang-wenangnya walaupun saya menghabiskan hampir 1000 hari (2 kali ISA, 8 kali lokap) didalam penjara demi memperjuangkan pembebasan suaminya.  Bayangkanlah apa yang dia boleh buat pada rakyat biasa yang akan menegur beliau jika beliau jadi Perdana Menteri?
3. Kalau Anwar pula yang jadi Perdana Menteri, mampukah beliau menjadi manusia yang hendak Membersihkan Malaysia dari Najis Rasuah ni? Beliau sendiri telah menghabiskan 6 tahun yang pertama dalam penjara atas kesalahan salah guna kuasa, macamana hendak harapkan Anwar melakukan pemberaihan?  Bila berucap memang berdegar-degar. Hendak lakukan reformasilah, tender terbukalah, hendak laksana “Good Governance”lah, macam-macam gembangnya.  Tapi brother, masa jadi TPM dulu kenapa tak buat? Kenapa tak mansuh AUKU, ISA dan Akta Mesin Cetak? Dah takde kuasa baru nak sembang pasal reformasi.  Kalau nak sembang bab reformasi ni, Dato’ Sri Najib masa ada kuasa lagi dia dah bebaskan pelajar berpolitik, pinda AUKU, hapuskan ISA dan lepaskan cengkaman kuku besi keatas media yang sentiasa risau permit mereka tidak diperbaharui zaman kamu berkuasa bersama Tun Mahathir. Kalau nak sembang bab, “Good Governance” dan tender terbuka, rasanya Zaman Najib lebih menyerlah betapa sukarnya hendak dapat tender terbuka dan pelbagai plan Transformasi Kerajaan lain. Kalau nak harap Anwar, zaman dia jadi Menteri Kewangan, Projek bernilai 1 billion setiap satupun dia bagi kat 15 syarikat termasuk syarikat sahabat beliau, Lankhorst Pancabumi.  Tidak payahlah dok sembang bab tender terbuka.  Bekal lori sampah di Selangor lebih 14 juta pun guna sebut harga, belum kira kerajaan Pulau Pinang bagi direct nego projek terowong 6.8 billion kepada syarikat 2 Ringgit.

Kalau diselidik satu-persatu tokoh Pakatan Harapan, baik dari Azmin Ali dengan skandal pasir dan penjualan tanah, Lim Guan Eng dengan skandal banglownya dan pengondolan bukit, siapa lagi watak dalam Pakatan Harapan yang kalian mahu harapkan untuk Membersihkan Malaysia Dari Najis Rasuah?  Takkan hendak lantik Hj Mohamad Sabu yang disogok oleh DAP dengan elaun bulanan sejak masih dalam PAS lagi?

Daripada memperjudikan nasib anak cucu kita ditangan mereka-mereka yang dipercayai lebih dasyat dari penyamun ni, lebih baiklah kita teruskan memberikan mandat kepada Barisan Nasional yang terang-terang telah mengangkat Badan Pencegah Rasuah yang sebelum ini duduk dibawah Jabatan Perdana Menteri, menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bebas dan jelas terbukti sangat proaktif dalam soal pembenterasan rasuah. 

Kalau zaman Mahathir dan Anwar, hanya ikan bilis sahaja yang kita nampak dihadapkan kemuka pengadilan.  Zaman Najib, bukan takat jerung, bekas Menteri Besarpun disumbatkan didalam penjara kerana rasuah dan salahguna kuasa.  Lepas tu kalian nak kritik ke, hendak tegur ke, tegurlah melalui saluran media yang telah dibebaskan sejak zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan disuburkan lagi kebebasannya dizaman Najib.