Jumaat, 19 Januari 2018

Calon PM: Malaysia bukan macam Amerika*

IZWAN ABDUL HALIM  19 JANUARY 2018

MARANG: Sistem pilihan raya di Malaysia bukan dengan cara pemilihan Perdana Menteri sepertimana Pilihan Raya Presiden yang diamalkan di Amerika Syarikat dan negara lain.

 

Demikian bidas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menjawab gesaan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada memilih beliau atau Pengerusi BN, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

 

Tegas beliau, pendirian PAS jelas bahawa paling penting bukan mengenai individu calon Perdana Menteri itu, tetapi segala sifat dan ciri-cirinya yang memenuhi kriteria pemimpin digariskan Islam.

 

Katanya, mereka yang kini sibuk berbahas mengenai pencalonan Mahathir, dahulunya antara paling kuat menentang dan marah, tetapi setelah itu bila berlaku pertukaran Perdana Menteri, masalah tetap berlaku.

 

"Pernah satu program dialog, seorang pakcik bangun tanya saya. Dia kata ustaz, saya nak tanya, Mahathir dengan Najib ini mana se hat (satu yang) jahat? 

 

"Saya kata, kita PAS ini bukan nak hukum orang hat ini jahat, hat ini lagi jahat, hat ini zalim, hat ini lagi zalim. Itu bukan kerja PAS! Kerja kita ialah untuk penuh konsisten tukar dasar. 

 

"Tukar polisi daripada tak baik kepada baik, daripada tak Islam kepada Islam, daripada hat Islam itu, nak hat comel lagi," ujarnya dalam Ceramah Ambang PRU14 di Pasar Malam Bandar Marang, di sini kelmarin.

 

Memperincikan ciri-ciri tersebut, beliau menegaskan Perdana Menteri itu mestilah seorang Islam, sesuai dengan negara ini yang meletakkan Islam sebagai agama negara. 

 

Pun begitu terangnya, terma Perdana Menteri mesti seorang Islam tidak ada dalam Perlembagaan Negara, sekali gus menunjukkan kegagalan Umno yang memerintah selama ini.

 

"Sebab itulah kita PAS kita letak ciri yang pertama mestilah seorang Islam. Yang kedua mestilah seorang Melayu. Ada pula orang kata orang PAS ini orang macam Parti Kebangsaan lebih daripada Umno pula duduk bercakap bangsa Melayu.

 

"Cina, India, kaum-kaum bangsa dalam negara kita macam mana? Kita kata kita dengan Umno berbeza bila bercakap pasal Melayu. Kita PAS ini bercakap pasal Melayu, kita nak selamatkan Melayu dengan Islam.

 

"Umno bercakap pasal Melayu, tapi letak Melayu depan. Kita letak Islam dulu depan, kita nak selamatkan Melayu dengan Islam, dan tak salah bila kita bercakap pasal bangsa dan kaum," ujarnya PAS tidak taksub kaum dan tidak menzalimi kaum lain. 

 

Ustaz Khalil menghurai kisah para Nabi yang dipertanggungjawabkan Allah dan hidup bersama kaum masing-masing di mana banyak di dalam al-Quran seperti Nabi Luth, Nabi Hud, Nabi Soleh dan lain-lain.

 

Apa salahnya bila kita PAS, kita kata, seorang Perdana Menteri yang kita nak dalam negara kita Kriteria Melayu jelasnya, kerana merupakan bangsa paling majoriti dan bermastautin tetap dalam negara kita. 

 

Hal itu terang beliau, berbeza dari bangsa-bangsa yang mari berhijrah dan jaminan PAS terhadap kaum terbukti pada tragedi 13 Mei 1969 apabila kaum-kaum lain selamat di Kelantan bawah pemerintahan PAS.

 

"Ciri ketiga, mestilah seorang yang adil. Adil di sini sangat luas, antaranya ialah seorang yang amanah bertanggungjawab, kepada agama, negara, harta rakyat. Ini yang kita nak. 

 

"Sebab itulah bagi kita tak timbul kita nak letak siapa-siapa dia calon Perdana Menteri kerana individu tidak penting, yang pentingnya ialah ciri-ciri, sifat-sifat itu mesti ada," perinci beliau. -HARAKAHDAILY 19/1/2018