Jumaat, 28 September 2018

#PAU2018 - Ucapan Perasmian Sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO



UMNO dan Malaysia Yang Berubah

YB Dato' Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan kepimpinan Exco Wanita.

Yang Berbahagia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan kepimpinan exco pergerakan pemuda Umno Malaysia 

Yang Berbahagia Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan kepimpinan exco pergerakan puteri Umno Malaysia

Ketua-ketua Wanita parti komponen Barisan Nasional, para jemputan serta semua saudara/saudari perwakilan sayap2 Umno Malaysia yang saya sayang. 

Para Perwakilan sekalian;

1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada sayap-sayap parti iaitu Wanita, Pemuda, dan Puteri yang telah berjaya mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan-cawangan dan bahagian- bahagian dalam jangkamasa yang singkat.

2. Seterusnya tahniah juga saya ucapkan kerana telah berjaya menganjurkan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada malam ini.

3. Saya tidak tahu bagaimana harus saya memulakan ucapan saya pada kali ini.

4. Sangat berkecamuk perasaan ini. Bukan mudah untuk berhadapan dengan ahli UMNO dan orang Melayu, dan memikul pertanggungjawaban terhadap kehilangan kuasa UMNO sebagai pemerintah negara.

5. Malam ini, sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya ingin kembali kepada fitrah manusiawi. Mengambil pertanggungjawaban, sebagai nilai yang dituntut dari seorang pemimpin. 

6. Justeru, bagi pihak diri saya dan kepimpinan UMNO, saya harus memohon maaf setulusnya kerana gagal menjayakan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 14 yang lepas.

7. Saya dan kepimpinan baru UMNO mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut. 

8. Walaupun tidak sedikit usaha yang telah kita semua curahkan dalam pilihanraya lepas, tetapi ternyata kita gagal untuk menongkah gerak gempa yang dicetuskan oleh kebangkitan rakyat Malaysia. 

9. Maka kita terimalah hakikat yang sangat pahit ini. 

10. Apa lagi yang harus kita lakukan kecuali menerima kenyataan ini.  Hidup dengannya dan melaluinya. Dengan terbuka dan berlapang dada. 

11. Saya tahu ia sukar, malah sangat asing kepada kita. Tapi inilah lumrah dan harga sebuah perjuangan. 

12. Kita tidak akan sentiasa menang hingga seribu tahun. Kita tidak akan kuat selama ada bulan dan bintang.

13. Kita lambat laun akan terjatuh dan terjerumus jua, pada satu waktu dalam garisan masa. Dan Mei 2018, garisan masa tersebut telah menjadi nyata. 

Para perwakilan yang sangat saya kasihi;

14. Untuk pertama kalinya, dalam sejarah panjang UMNO, kita bersidang dalam kedudukan kita bukan lagi sebagai parti pemerintah.

15. UMNO telah hilang kuasa dan susut pengaruhnya.

16. UMNO bukan lagi seperti dulu. Ia telah hilang pesonanya pada bangsa Melayu.

17. Kenapa semua ini berlaku? Di mana perginya ketahanan UMNO setelah tujuh dasawarsa ia wujud, hidup dan berfungsi?

18. Bagaimana parti yang telah membidani kelahiran Malaysia ini dan memimpinnya selama lebih 60 tahun, boleh begitu mudah terjerumus dalam kancah kekalahan?

19. Maka ternyata, jangka masa 70 tahun itu gagal menyediakan kita dengan kematangan sebagai sebuah parti yang moden dan bersifat sezaman.

20. Ini adalah kerana kegagalan kita memahami dan menggarap bahawa Malaysia yang kita didiami waktu ini, yang kita hirup udaranya,  malah yang kita bangunkan adalah Malaysia yang sudah berubah. 

21. Bukan Malaysia yang dahulu. Tetapi Malaysia yang telah berubah. Malaysia yang moden, yang global dan yang berkemajuan. 

22. Kita gagal menghargai bahawa segenap struktur sosial, pendekatan ekonomi dan amalan politik Malaysia, telah melalui pelbagai fasa modenisasi dan transformasi.

Saudara-saudari sekalian;

23. Bagi saya di samping fakotr2 dalaman dan luaran parti, ada tiga fenomena penting yang mendasari kegagalan UMNO dalam pilihanraya lepas.

24. Pertama, dampak globalisasi yang dipacu oleh kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi telah melahirkan generasi baru Malaysia.  Generasi yang bukan sekadar mengangguk dan mengiyakan semua perkara atau 'comfirmist'. 

25. Kedua, modenisasi Malaysia telah melahirkan generasi Melayu yang tidak lagi mempunyai nilai dan hubungan sentimental dengan UMNO. 

26. Ketiga, kegagalan UMNO dan BN untuk berubah mengikut tuntutan sezaman. Struktur, budaya, dasar dan pemikiran politik UMNO dan BN adalah citra kurun ke 20, sedangkan Malaysia telah jauh berada dalam kurun ke 21. 

27. Akan tetapi, di sebalik segala alasan dan faktor ini, krisis paling besar kepada UMNO bukanlah kehilangan kuasa. Menang kalah pilihanraya itu adat demokrasi.

28. Tetapi, yang sangat mendukacitakan ialah UMNO tewas kerana ia telah kehilangan kepercayaan orang Melayu. Kepada sesetangah orang Melayu, UMNO telah 'hilang kompas moral dan nilainya'. 

29. Lihat sahaja bila ekonomi kita bertumbuh dengan pesat. Bila Malaysia semakin maju, telah lahirlah jumlah kelas atasan dan menengah Melayu yang besar. 

30. Ini telah menyebabkan munculnya semacam kepercayaan baru, iaitu  "kewangan yang maha berkuasa" atau "the power of money".

31. Dan yang lebih parah, budaya ini telah merebak pula ke dalam wilayah politik. UMNO dan pemimpinnya pula menjadi pemangkin. Membenih dan menyuburkan kepercayaan "kewangan yang maha berkuasa" ini.

32. Segala-galanya adalah tentang wang. Segala-galanya memerlukan imbuhan, memerlukan ganjaran dan habuan material. 

33. Natijahnya, perkara yang diperjuangkan UMNO bukan lagi kemaslahatan bangsa melayu. 

34. Bukan lagi tentang Bahasa Melayu. Bukan lagi kebolehsaingan Melayu. Atau pendidikan terbaik untuk anak bangsa. Bukan lagi sistem politik matang dan baik. Bukan kepimpinan yang amanah pada perjuangan bangsanya. 

35. Tetapi, yang diperjuangkan ialah 'survival' tokoh tertentu yang mampu memberikan segala macam imbuhan. Kontrak dan Projek. Bukan lagi wadah gerakan massa bangsa Melayu yang jujur.

Tuan-tuan dan Puan-puan; 

36. Kegagalan UMNO memimpin bangsa Melayu dengan kompas moral dan nilai, telah mendatangkan impak sangat luar biasa kepada kedudukan orang Melayu.
 
37. Yang terhambat, adalah bangsa Melayu. Bangsa Melayu, pada pandangan jujur saya, sedang berhadapan dengan apa yang saya panggil zaman kesusutan atau "the age of decline".

38. Bangsa kita, dalam menghadapi segala gelombang perubahan ini, tidak mempunyai "mekanisme pertahanan diri" (self defence mechanism) ataupun strategi kebudayaan (cultural strategy) yang kuat.

39. Maka kerana itulah, UMNO mesti keluar dari sindrom penafian. Kita tidak boleh terlalu defensif, terlalu sensitif dan menganggap semua teguran dan kritikan kepada kita adalah cubaan untuk menjatuhkan kuasa politik orang Melayu. 

40. Hujah sebegini sudah lapuk, sudah tidak boleh diterima. 

41. Sebaliknya, kita mesti menerima naratif bahawa, selagi lantang dan kerap orang Melayu menyuarakan pandangan dan teguran kepada UMNO, semakin sayang dan peduli mereka dengan kita.

42. Dan segala teguran, kritikan, malah hukuman mereka kepada kita, sewajarnya menjadi asas yang menyedarkan kita bahawa UMNO memerlukan pengislahan yang sebenar-benarnya.

43. Bukan pada struktur. Bukan hanya sekadar melaksanakan pemilihan dan mempunyai kepimpinan baharu. Bukan sekadar menukar nama atau slogan. Semua itu kosmetik. Semua itu hanya ranting-ranting kecil sahaja.

44. Sebaliknya, UMNO mesti dibangunkan semula dengan nilai, dengan moral, dengan ideologi yang paling tuntas.

45. UMNO mesti melupakan sebentar nafsunya untuk meraih kuasa.

46. UMNO harus tampil, bekerja keras meyakinkan semula bangsa Melayu bahawa ia, UMNO, akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa sepuluh tahun akan datang, untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu.  

47. UMNO, mesti membangunkan 'DEKAD PENCERAHAN' untuk bangsa Melayu. Atau apa yang saya panggil "The New Malay Renaissance"!

48. Jadi, hari ini saya mengambil kesempatan, membuat peringatan dan seruan secara tegas dan ikhlas. Kepada semua yang ada di sini. Dan juga kepada semua mereka di luar sana. Khususnya kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

49. Bahawa bangsa Melayu sedang berada di persimpangan paling getir kelangsungannya. 

50. Dan UMNO, di sebalik kesusutan pengaruh dan kuasanya,  tidak boleh membiarkan kondisi bangsa kita terus susut. 

51. UMNO mesti bangun, menjadi lebih bingkas dan memimpin bangsa Melayu dalam Malaysia yang berubah ini. 

52. Biarpun tewas, UMNO masih memiliki potensi besar, pengalaman sejarah yang panjang, dan modal sosial yang handal untuk memberi solusi. 

53. Akan tetapi, yang membimbangkan saya ialah bila kita berada dalam kedudukan tewas seperti ini, kita hilang arah. Kita gelabah, kita jadi hilang pedoman dan kewarasan.

54. Kita seolah-olah tidak tahu apa yang harus dilakukan.  

55. Perlu saya ingatkan, UMNO tidak akan kembali pulih kalau kita sekadar memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sahaja. Ia sangat tidak memadai.

56. Apa yang penting waktu ini, yang mesti kita sama-sama fikirkan, ialah ke mana dan bagaimana akan kita bawa UMNO selepas ini?
 
57. Kita tidak boleh lagi berlengah, memberi pelbagai alasan, kenapa sehingga hari ini, kita gagal melakarkan hala tuju dan perjalanan masa depan UMNO kepada ahli dan orang Melayu.

58. Semakin lama kita menangguhkan pelan pencerahan untuk UMNO, semakin ramai yang akan kehilangan keyakinan kepada kita.

59. Lihat sahaja kebelakangan ini. Ramai yang telah memilih untuk meninggalkan wadah perjuangan parti ini.

60. BAK KATA BIDALAN ORANG NISMILAN, 2-3 EKOR AYAM TAK BERKOKOK, HARI AKAN TETAP SIANG JUGA. Kepada mereka yang meninggalkan perjuangan ini, kita ucapkan selamat maju jaya. 

61. Ramai juga yang sangat yakin bahawa UMNO akan mati dan terkubur selamanya. Kita berlapang dada dengan kenyataan sedemikian. 

62. Dan memang benar, UMNO waktu ini, laksana hidup segan mati tak mahu. Separuh nyawanya pergi.

63. Kehilangan kuasa menjadikan UMNO kehilangan arah. Kerana UMNO selama ini hanya tahu satu kehidupan. Berkuasa. 

64. Tanpanya, ia kusut, bercelaru dan menghampiri mati. Kerana ramai dalam UMNO mencari kehidupan dengan UMNO. Bukan menghidupkan UMNO untuk kebaikan bangsa. 

Para Perwakilan Sekalian;

65. Membangunkan UMNO pasca PRU-14 adalah sangat sukar. Saya jangkakan bahawa ia memerlukan satu proses yang akan merentas zaman untuk pulih.

66. Kita ditakdirkan untuk memulihkan UMNO. Mungkin sebagai kifarah atas kesalahan kita kerana cuai dalam amanah pada bangsa. 

67. Lalu sekarang, kita harus memilih. Mahu meneruskan UMNO ini. Atau membiarkan ia luput dari persada politik Malaysia.

68. Saya memilih untuk meneruskan hayat UMNO. Bukan itu sahaja, saya berikrar membangunkan kembali dan menjadikan UMNO lebih baik. 

69. UMNO yang lebih moden. UMNO yang lebih maju. UMNO yang benar-benar diyakini sebagai parti perjuangan. Bukan parti untuk politik naungan bagi bangsa Melayu.

70. Jadi, pada malam yang penting ini,  saya mengajak semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri sekalian, marilah kita memberikan penghidupan baru untuk UMNO.

71. Marilah bersama-sama saya dan kepimpinan parti, meneroka jalan sukar. Jalan berliku. Jalan yang belum tentu akan menemui fajar baru. Untuk merawat, memulih dan mencerahkan UMNO ini.

72. Biar saya nyatakan kenapa kita harus memilih jalan sukar ini. Bukan jalan singkat. Bukan jalan belakang. Bukan jalan tidak demokratik.

73. Pertama, inilah parti yang satu-satunya kita semua dukung.

74. Yang lebih separuh usia dari usia kita, diabadikan untuknya. Yang dalam darah kita ini, DNA-nya hadir dan mengalir.

75. Kita tidak pernah kenal parti lain. Dan kita tidak mahu pun menjadi parti lain. Dalam baik, dalam lemah, dalam kuat, dalam lelahnya, inilah parti kita.

76. Kita mesti menerima UMNO dengan segala kebaikan yang ada padanya dan segala kelemahan yang ada padanya. 

77. Kita bukan orang yang kasihkan UMNO hanya pada kala berada. Kala senang. Kala berjaya.

78. Kita kasihkan UMNO setiap ketika. Pada saat paling sukar, saat paling manis. Kita kekal, kita setia bersama.

79. Dengan UMNO, yang berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing. Dengan UMNO, hubungan kita seperti ikatan perkahwinan. Hanya cangkul dan tanah jua yang boleh memisahkan.

80. Jadi, sekali terjatuh,  jangan kita buang UMNO ini. Itu bukan cara kita. Dan saya pasti itu juga bukan cara para perwakilan semua.

81. Malah, kita mesti bangun, dan kita mesti hidupkan UMNO ini kembali.

82. Ini ikrar dan nilainya sebuah perjuangan. Dan jika kita  orang perjuangan, kita harus menggalasnya bersama.

83. Kedua, kita memilih untuk bersetia kerana kita mesti mengambil tanggungjawab kerana tewasnya UMNO.

84. Kita tidak boleh lari dari memikul tanggungjawab atas penolakan rakyat terhadap UMNO. 

85. Saya memberitahu diri saya, seumur masa, saya akan dihantui oleh rasa bersalah kerana tewasnya UMNO. Dan saya pasti ia akan menghantui hidup saudara sekalian juga. 

86. Maka kerana itu, mana mungkin kita tinggalkan UMNO ini, bila saya dan kita semua, menjadi sebahagian dari kejatuhannya. 

87. Justeru, kita mesti bangkit melunaskan tanggungjawab kita untuk memulih semula UMNO ini.

88. Kita mesti menebus rasa bersalah itu dengan mengambil tanggungjawab, membangunkan semula UMNO yang telah tercedera parah.

89. Membebat dan merawatnya. Mengubat dan memulihkannya. Mengembalikan UMNO dulu yang sangat kita cintai dan kita rindui. 

90. Ketiga, kita memilih untuk kekal kerana, di negara ini, sudah tidak ada  lagi parti Melayu yang dominan kecuali UMNO. 

91. UMNO mesti menjadi 'the safety net for the Malays'.

92. Kalau kita biarkan UMNO ini tanpa peduli, siapa lagi yang akan memperjuangkan kepentingan strategik bangsa.

93. PH tidak mewakili majoriti parti Melayu. Terlalu kecil peranannya dalam politik Melayu. 

94. Kerana itu, tuntutan membangunkan semula UMNO, merawatnya, memulihkan wibawanya, bukan lagi satu pilihan. Tetapi kewajipan.

95. Tanpanya kita akan hilang gerakan 'Melayu' yang sebenarnya. Tanpanya, kita akan hilang parti kebangsaan untuk Melayu. Tanpanya, tiada lagi wadah kebaikan untuk orang Melayu.

96. Percayalah, kehilangan perjuangan kebangsaan dari pentas politik Malaysia akan menjerumuskan bangsa Melayu ke kedudukan yang lemah dan terancam kelangsungannya.

97. Keempat, kita mesti membangunkan UMNO kerana selama 60 tahun, kita telah menerima banyak sekali manfaat darinya.

98. Apa yang kita tidak nikmati dari hasil perjuangan UMNO? Jangan hanya kerana kita tewas, kita memilih untuk melihat UMNO sebagai gerakan yang sifar jasa, sifar sumbangannya.

99. Janganlah kita jadi mereka yang kufur kepada nikmat. Terlalu cepat melupakan kebaikan. Habis madu sepah dibuang.

100. Kita bukan orang yang lupa pada mereka yang berbudi dan berbakti. Kita orang yang berterima kasih. 

101. Sebab itulah, kita harus bersetia untuk UMNO, kerana kita mengenang bakti luar biasa yang pernah UMNO curahkan pada bangsa Melayu.

102. Terakhir, kita mesti membangunkan UMNO, kerana kita mahu mengukuhkan demokrasi di Malaysia.

103. Kita tidak dapat lari dari menerima hakikat bahawa landskap politik Malaysia telah deras berubah.

104. Perubahan Kerajaan yang memerintah akan menjadi lumrah dalam Malaysia yang semakin matang demokrasinya.

105. Kerana itu, kita harus memastikan bahawa dalam Malaysia yang semakin demokratik ini, UMNO terus dapat berperanan dan berfungsi. 

106. Walau siapa pun yang memerintah, jika parti yang tewas itu kuat dan berfungsi dengan baik, maka pemenang paling besar ialah demokrasi. Dan apabila demokrasi menang, rakyat akan menang.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

107. Pertemuan kita hari ini adalah sangat penting. Kita mesti merencanakan segera pemulihan dan kebangkitan UMNO. 

108. Waktu inilah peranan Wanita, Pemuda dan Puteri sangat penting. Sangat kritikal dan sangat didambakan. 

109. Wahai pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri! 

110. Anda semua mesti tampil sebagai pencerah. Anda semua mesti memberikan kepimpinan. Pada bahu anda semualah, terletaknya tanggungjawab untuk mengembalikan matlamat moral UMNO atau  "UMNO's moral purpose".

111. Bagaimana harus saudara-saudari sekalian lakukan? Saya tiada formulanya. Dan dalam UMNO kurun 21 ini, solusinya tidak datang dari Presiden dan MKT. Itu zaman UMNO pra PRU14.

112. UMNO pasca PRU 14, mesti beroperasi di luar kelaziman. 

113. Maknanya saudara dan saudari harus menggunakan segala imaginasi, kebitaraan dan modal intelektual anda semua, untuk mencipta dan melakukan seribu satu pendekatan bagi merangsang rejuvenasi UMNO.

114. Wujudkan gelombang baharu. Jana tenaga dan semangat yang membara. Tinggalkan amalan lapuk dan bangkitlah dengan misi yang meyakinkan.

115. Percayalah, ikhtiar memulihkan UMNO sangat memerlukan penerokaan idea-idea besar dan luar biasa. Bukan satu solusi untuk semua! Dan dari saudara-saudarilah saya harapkan idea-idea segar dan luar biasa ini datang.

116. Tetapi sukalah saya memberikan sedikit panduan. Walau apa pun idea segar dan pendekatan luar kelaziman yang saudara-saudari sekalian akan kemukakan untuk mencerahkan UMNO ini,  saya menyarankan agar nilai dan prinsip berikut dijadikan pedoman. 

117. Pertama, UMNO mesti kembali ke landasan lahiriahnya. Kembali kepada ideologinya untuk membuah dan menciptakan kebaikan kepada bangsa Melayu. 

118. Maknanya kebangkitan semula UMNO mesti berlandaskan nilai, serta berpaksikan moral dan ideologinya. Kita mesti menjadi parti dengan ideologi yang jelas dan berpegang teguh kepadanya.

119. Tugas kita waktu ini ialah bagaimana untuk melakukannya. 

120. Bagaimana kita akan menanam, dalam setiap diri ahli UMNO akan ideologi UMNO yang sebenar-benarnya. Iaitu sebagai sebuah Gerakan Pencerahan. Sebuah Gerakan Ikhtiar dan amal bakti. Dan sebuah Gerakan Jalan Tengah. 

121. Setiap pendukung, setiap ahli UMNO, setiap Bahagian, harus faham ideologi dan doktrin UMNO yang sebenar-benarnya.

122. Kita tidak lagi boleh hanya menjadi ahli, tetapi tidak tahu kenapa kita menjadi ahli dan apa yang kita dukung dan perjuangkan.

123. Kedua, sangat penting untuk UMNO ini diposisikan semula di tengah arus perubahan lokal, nasional, dan global. 

124. Maknanya UMNO mesti ada pelan, ada strategi dan kayu ukur untuk memulihkannya. Kita mesti menjadi parti politik yang moden.

125. Kita mesti mempunyai 'blueprint' yang jelas tentang bagaimana UMNO ini mesti direjuvenasikan. 

126. Dan semua pelan ini mesti ada kayu ukurnya. Mesti boleh dinilai pencapaiannya. 

127. Maka saya cadangkan. Wanita, Pemuda dan Puteri bersama-sama  melakarkan jalan ke hadapan untuk UMNO dengan menggubal Pelan UMNO 2030 (UMNO BLUEPRINT 2030). 

128. Pelan yang akan memperincikan dengan jelas, strategi apa yang akan  kita gunakan untuk meyakinkan orang Melayu agar kembali bernaung dengan UMNO.

129. Pelan ini mesti boleh menjelaskan dengan terperinci, sedekad dari sekarang,  bagaimana UMNO akan ditransformasikan sebagai pelopor sebenar kepada perubahan. Menjadi pengawal keutuhan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan institusi raja-raja Melayu. Dalam masa yang sama, UMNO juga akan menjadi pembela kepada  kemajmukan pelbagai kaum, bahasa dan budaya di Malaysia ini. Dan menjadi katalis dan penggerak kemajuan umat. 

130. Kita mesti jelas. Membangunkan semula UMNO tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa sahaja. 

131. Dan bukan sekadar untuk kita melaungkan slogan keramat 'Hidup Melayu'. Tetapi bagaimana untuk Melayu dalam abad ke-21 mesti hidup secara maju. Dan ianya dipimpin oleh UMNO.

132. Kita mesti boleh mengungkap cara bagaimana kita akan membidani kelahiran Melayu Maju dan bukan lagi Hidup Melayu. 

133. Dan menjadikan UMNO sebagai wadah untuk mengajak dan menggalang seluruh kekuatan bangsa. 

134. UMNO mesti lebih besar dari hanya menggunakan kekuatannya untuk berbicara tentang politik dalamannya sahaja. Atau mengambil alih kuasa.

135. Ketiga, ikhtiar pengislahan UMNO mesti dibezakan dengan strategi untuk menang pilihanraya.

136. Maksudnya, kita memerlukan dua strategi berbeza. Dua pendekatan berbeza. 

137. Pertama, kita memerlukan bleuprint untuk memulihkan semula wibawa UMNO sebagai sebuah gerakan kebangkitan bangsa Melayu. Ini sangat mengambil masa, non linear dan bukan ada jalan pintas.

138. Kedua, UMNO mesti mempunyai strategi khusus untuk memenangi pilihanraya ke 15. 

139. Strategi moden, fleksibel dan bersandar data. Jika sekiranya Jalinan Rakyat (JR) tidak lagi berkesan, kita mesti cari jalan lain. 

140. Kita perlukan 'social media intelligence'. Kita mesti menggunakan big data secara besar-besaran. Kita mesti ada pasukan media sosial yang paling 'sophisticated'. Kita mesti ada calon yang bersih, berwibawa dan sanggup bekerja dari sekarang. Kita mesti ada sukarelawan yang berdedikasi. Dan kita mesti ada jentera parti yang handal. 

141. Maknanya, kita mesti ada cara untuk membezakan dan tidak mencampur adukkan agenda membangunkan semula parti dengan cita-cita kita untuk memenangi pilihanraya ke 15. 

142. Keempat, kita mesti mengemukakan solusi pada pelbagai masalah nasional sekarang. Berdasarkan dapatan kajian yang sahih. Pemikiran yang cerdas. 

143. UMNO, terutamanya melalui Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, mesti mengemukakan cadangan dasar-dasar pencerahan  yang kreatif dan inovatif. Pendirian UMNO. Ketetapan UMNO. Pemikiran UMNO.

144. Jangan cakap-cakap sahaja. Jangan hanya sekadar kenyataan akhbar.

145. Mulai sekarang, UMNO mesti ada pendirian yang terperinci tentang UEC misalnya. Tentang pendidikan, ekonomi, perdagangan antarabangsa, dasar luar dan pelbagai lagi dasar awam (public policy).

146. Dan pendirian UMNO mesti menjadi pendirian orang Melayu. Bukan pendirian Presiden atau MKT. Ingat, UMNO adalah lebih besar dari institusi Presiden dan MKT.  

147. Parti politik adalah suatu urusan yang serius, 'a serious business'. Ia mesti menyumbang kepada peningkatan kualiti dasar, program dan ikhtiar negara dalam berbagai bidang. 

148. Maka UMNO mesti tampil dan mengemukakan  model-model unggul dalam memperbaiki kemaslahatan masyarakat,  baik dalam bidang pendidikan, sosial, kesihatan, pengupayaan ekonomi mahupun keterlihatan antarabangsa. 

Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri

149. Saya telah gariskan sedikit sebanyak, pandangan yang mungkin boleh kalian jadikan pedoman untuk misi kalian membangunkan parti.

150. Terpulanglah bagaimana saudara-saudari ingin mengemudi parti ini bersandarkan nasihat tidak seberapa ini.

151. Yang pasti, saya dan rakan kepimpinan parti, menyimpan harapan yang menggunung pada saudara-saudari.

152. Saudara saudari sekalian, sebelum berakhir, saya mohon izin untuk menitipkan beberapa pesanan untuk saudara-saudari sekalian. 

153. Pertama, perjalanan perjuangan kita semua dalam UMNO, tidak lagi akan disimbahi sinar mentari terang atau cahaya bulan purnama. 

154. Zaman kegemilangan UMNO telah berakhir. Ini zaman pancaroba. Dan pancarobanya sangat menguji dan luar biasa.  

155. Perjuangan kita sekarang adalah lebih rumit dan lebih sulit. 

156. Dalam UMNO dan di luar UMNO, kita harus melawan kealpaan. Melawan sikap dan pemikiran yang tidak berkemajuan. Melawan sikap dingin dan penolakan mereka pada perjuangan kita.
 
157. Kita tidak punya pilihan. Pada saudar-saudarilah, terletaknya tanggungjawab untuk meyakinkan generasi muda Melayu bahawa UMNO masih lagi wadah politik terbaik untuk mereka memberikan sumbangsih pada bangsa dan negara.

158. Kepada Noraini, Ashraf dan Zahida. Keputusan kami, kepimpinan parti, menggalaskan tugas dan tanggungjawab yang besar ini kepada kalian, sebetulnya satu penghormatan.

159. Kami tidak akan mempertaruhkan nasib bangsa kepada mereka yang kami rasakan tidak mampu.

160. Kami yakin, saudara-saudari akan ikhlas dan gigih mencari jalan penyelesaian untuk parti. Malah kami mendoakan, yang saudara-saudari akan menemui jalan baharu untuk UMNO, insya-Allah.

161. Kedua, biar tewasnya kita dalam pilihan raya, jangan singkirkan cita-cita besar. Kita mesti menyimpan cita-cita setinggi bintang di langit untuk bangsa kita. 

162. Benar, saya sedih kita tewas dalam pilihanraya. Tapi, saya akan jauh lebih sedih, malah gusar, jika UMNO dipenuhi dengan orang muda yang lemah semangatnya. 

163. Apabila orang muda kita putus asa, tidak ada cita-cita dan menjadi tukang turut sahaja, pada saya, itulah ketewasan dan kekalahan yang sebenar-benarnya.

164. UMNO yang tewas, tidak harus membenarkan orang mudanya tewas.

165. UMNO yang tewas, tidak harus membenarkan cita-citanya yang menggunung juga tewas. 

166. Tanpa cita-cita, hidup adalah sekadar hidup. Tetapi tidak akan ada kehidupan.

167. Jangan biarkan keremajaan dan jiwa muda saudara-saudari disumbingkan oleh cita-cita yang kecil dan rendah. Apa lagi ditewaskan oleh sang negarawan yang telah lanjut usianya. 

168. Ingatlah, perjuangan parti ini landasan kepada orang muda untuk membawa kebaikan kepada orang Melayu. Tugas sayap-sayap bukan sekadar mencari tukang sorak dan penghayun bendera yang berbayar. Ia lebih dari itu.

169. UMNO memerlukan cita-cita baru yang lebih luar biasa untuk orang Melayu. Bukan sekadar slogan dan laungan 'Hidup Melayu'. UMNO memerlukan jalan baru, yang menjangkaui perjuangan hak dan kepentingan Melayu.

170. Kerana itulah, pemimpin masa depan Melayu mesti mempunyai cita-cita besar. Impian besar. Dan ilham yang luar biasa.

171. Cita-cita dan ilham besar akan mengajak kita memperindah martabat manusia, memuliakannya, mendekatkan pada kesempurnaan. Cita-cita yang besar akan membuatkan seseorang itu menjadi orang besar, dengan jiwa dan karakternuya yang unggul.

172. Cita-cita besar, pada saya, bak gelombang laut yang dahsyat. 

173. Tidak ada seorang pun mampu menghentikannya. Sekalipun dipasang jerejak dan halangan, tetapi perlahan-lahan semua itu akan terkikis oleh badai yang tidak jemu menghempas pantai. 

174. Cita-cita besar tidak dapat dipenjarakan. Ia ada di dalam hati. Ia sentiasa hidup dan berlegar-legar dalam kotak pemikiran. Tidak ada manusia yang boleh memenjarakan cita-cita yang besar.

175. Cuma ingatlah, dalam keasyikan membidik bintang di langit tinggi, jangan sesekali lupa rumput di bumi.

176. Ketiga, saatnya telah tiba untuk kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri memberikan kepimpinan. Bukan lagi sekadar menjadi ketua gerombolan yang hanya menurut.

177. Saya teringat pesan Sukarno pada bangsa Indonesia. Lebih baik jadi singa untuk satu hari daripada menjadi kucing seumur hidup.

178. Maka, pimpinlah bangsa ini. Pimpinlah parti ini dengan sebenar-benar kepimpinan. 

179. Akui kelemahan dan kekurangan yang ada. Cari dan beri pencerahan. Serlahkan kepimpinan anda semua pada kala negara berada dalam persimpangan kritikal seperti ini.

180. Tunjukkan kecerdasan baharu, pada kala UMNO sangat-sangat memerlukannya. 

181. Jadilah pemimpin yang mengemukakan kecerdasan pada bangsa dan memberikan jalan keluar pada segala masalah nasional.  Bukannya pemimpin yang keluar ke jalan dan menjadi pemaki hamun dan pencerca dangkal.

182. Jadilah pemimpin yang berkarya, bukan yang bersiulan sahaja.

183. Jadilah pemimpin untuk semua, bukan hanya untuk UMNO. 

184. Kerana negara ini adalah negara milik semua.  Bukan negara untuk satu orang. Bukan negara untuk satu golongan. Bukan negara untuk satu bangsa. 

Wahai Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO! 

185. Bersedialah untuk menempuh perjuangan yang sukar dan memberi khidmat pada watan dengan jujur dan sebenar-benarnya.

186. Tanamkan iltizam untuk memberikan yang terbaik kepada bangsa dan ibu pertiwi kita.

187. Semua ini, jika dilunaskan dengan amanah dan ikhlas, akan menjadi ibadah yang dipandang oleh Allah swt.

188. Sesungguhnya UMNO adalah sebuah parti untuk mereka yang bekerja keras. Dan kita mesti bekerja keras. 

189. Biar apa pun pandangan dan saranan orang lain, pada saya, pemulihan dan kebangkitan UMNO harus bermula dengan sayap-sayap parti. Kerana, jika sayap-sayap parti tidak kuat, mana mungkin kita terbang tinggi?

190. Marilah kita berikrar untuk berikhtiar dan bersabar. Kerana, ikrar tanpa ikhtiar, itu bohong. Ikhtiar tanpa sabar, itu kosong.

191. Insya-Allah, semoga semua usaha ini akan membuahkan kebaikan. Pada orang Melayu. Pada agama Islam. Dan sudah pastinya, pada Malaysia yang sangat istimewa ini. 

192. Saya akhiri ucapan ini dengan mengambil peringatan dari putera terbaik bangsa, Almarhum Sasterawan Negara, Usman Awang.

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2018.
Terima kasih.