Jumaat, 27 Disember 2019

Henti pemusnahan hutan di lereng bukit Banjaran Kledang


December 10, 2019

https://harakahdaily.net/index.php/2019/12/10/henti-pemusnahan-hutan-di-bukit-banjaran-kledang/

Berita & Artikel HARAKAH: https://chat.whatsapp.com/Lxy4UFTAj1L7rrPpNT4ZKm

(Gambar: Sebahagian lereng bukit Banjaran Kledang telah dieksploitasi.)

SATU lagi kawasan hutan di lereng bukit Banjaran Kledang iaitu bekas sebahagian Hutan Simpan Kledang Saiong (HS Kledang Saiong) seluas 500.2 hektar berhampiran Chemor dalam Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta telah mula dimusnah dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.

Berdasarkan pemerhatian di lapangan pada 6 Disember, seluas kira-kira 20 hektar kawasan hutan telah dibalak secara tebang habis sehingga gondol.

Di samping itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mempersoal sama ada pelesen kegiatan pengusahasilan (pembalakan) di bekas sebahagian HS Kledang Saiong tersebut telah mengemuka dan mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) sebelum memulakan kegiatan pengusahasilan (keluasan kawasan kelulusan lesen pengusahasilan ialah 151.49 hektar).

Berdasarkan Jadual Pertama, Aktiviti 5(b), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015:

“Pembalakan, atau penebangan atau pengambilan kayu bagi maksud pengubahan hutan kepada kegunaan tanah yang lain meliputi kawasan seluas 100 hektar atau lebih tetapi kurang daripada 500 hektar.”

SAM dan KUASA telah kerap kali menyuarakan kebimbangan dan menggesa Pihak Berkuasa Negeri tidak lagi memansuhkan sesuatu kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di samping mencadangkan supaya diwarta semula atau diganti kawasan tanah lain sebagai HSK tetapi saranan-saranan tersebut tidak begitu diambil perhatian.

Malah agenda pertama yang dibincangkan semasa pertemuan di antara SAM dengan YAB Menteri Besar Perak pada 19 Februari lalu ialah Pihak Berkuasa Negeri tidak harus memansuhkan sesuatu kawasan perlindungan terutama HSK tanpa justifikasi dan keperluan yang munasabah.

Walaupun pemansuhan sebahagian HS Kledang Saiong seluas 500.2 hektar tersebut adalah semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, YAB Menteri Besar selaku Exco yang bertanggung-jawab terhadap portfolio tanah, hutan dan sumber asli perlulah mengambil-kira kesannya kepada kesejahteraan alam sekitar dengan mewartakan semula sebagai HSK selari dengan salah-satu objektif Dasar Perhutanan Negara serta matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu pada tahun 2020 keluasan HSK di Semenanjung Malaysia mencapai lima juta hektar.

Bekas sebahagian HS Kledang Saiong tersebut juga sepatutnya perlu dipelihara dan dilindungi kerana ia merupakan sebahagian daripada kawasan Geopark Lembah Kinta.

Setiap perancangan pembangunan khususnya yang melibatkan pengubahan guna-tanah yang hendak dilaksana oleh Pihak Berkuasa Negeri perlu merujuk dan mengambil-kira serta selari dan tidak bercanggah dengan semua dasar, pelan perancangan fizikal, ketetapan dan garis panduan berkaitan alam sekitar sedia-ada.

SAM dan KUASA berharap Pihak Berkuasa Negeri Perak akan meneliti dan memperhalusi semula lain-lain cadangan projek yang boleh memberi impak atau kesan ketara kepada kesejahteraan alam sekitar sebagaimana yang terkandung dalam salah satu inisiatif Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

MEENAKSHI RAMAN
Presiden Sahabat Alam Malaysia – HARAKAHDAILY 10/12/2019

SUMBER, MEENAKSHI RAMAN