Rabu, 8 Julai 2020

PEMIMPIN UMNO DIINGATKAN TIDAK UBAH NADA KERANA JAWATAN - Shahrir Abdul Samad



KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai jawatan dan kuasa dalam kerajaan diingatkan agar tidak mudah berubah pendirian disebabkan sudah memegang jawatan.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan perlu ingat bahawa kuasa politik itu sebenarnya datang dari rakyat yang mengundi.

Malah, rakyat juga yang meminjamkan kuasa tersebut bagi tempoh tertentu dan ia boleh ditarik balik.

Tambahnya, disebabkan prinsip dan maruah rakyat menolak Pakatan Harapan (PH) kerana prinsip mereka telah ditipu olih PH dan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan kelakuan angkuh PH sebagai kerajaan.

Malah kerana maruah, rakyat tidak mahu ditipu lagi, katanya.

Shahrir mengakui sebelum berlakunya perubahan kerajaan pada akhir Mac 2020, sudahpun ada perbincangan sesama kepimpinan UMNO di peringkat pusat dan peringkat bahagian.

Ketika itu ramai berminat untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyertai kerajaan baru, iaitu tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR, PAN dan DAP.

”Saya menegaskan kepada rakan-rakan saya di peringkat pusat bahawa setiap langkah UMNO haruslah berprinsip dan bermaruah, dan bukan semata-mata untuk mendapat jawatan dalam kerajaan.

”Pandangan saya telah disanggah oleh seorang pemimpin muda yang menyindir dengan berkata bahawa, bagi dia, maruah itu tidak bermakna tanpa kuasa. Dan kuasa itu datangnya dari jawatan.

”Memang kuat tarikan jawatan dan kuasa dalam politik. Apa tujuannya politik kalau tidak untuk kuasa? Tanpa kuasa, tidak guna bercakap pasal prinsip dan maruah,” kongsi Shahrir.

Sebab itu, semasa UMNO dan BN berada sebagai pembangkang, rakyat yang menarik balik kuasa yang diberikan kepada PH dan memberikannya semula kepada BN melalui enam Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu.

Ini kerana, katanya, pengundi-pengundi di enam kawasan yang terlibat tahu mereka tidak akan dapat apa-apa dan tidak minta apa-apa pun apabila mereka menolak calon-calon PH.

”Hanya kerana prinsip dan maruah, mereka tolak PH,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Oleh itu, beliau mengingatkan pihak-pihak tersebut agar tidak berubah ‘nada’ sebagai Menteri apabila sudah ada jawatan dan kuasa hingga tidak menghormati rakan-rakan yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan walaupun ada jawatan dalam parti.

Tindakan itu, tegasnya, sudah melanggar prinsip dan ia sesuatu yang tidak bermaruah.

Shahrir berkata, keputusan mengisytiharkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 perlu dijelaskan sebagai ssuatu keputusan yang tidak merugikan BN daripada segi kerusi, penggunaan lambang dan tawaran kepada pengundi dan rakyat.

”Saya beri satu contoh. Contoh Johor Bahru. Semasa kerajaan negeri PH, jawatan-jawatan di peringkat kampung dan majlis bandaraya dikongsi olih wakil parti-parti gabungan PH. Apabila berubah kerajaan, alih-alih bagi jawatan-jawatan ini, BN bukan sahaja kena berkongsi dengan PPBM tapi juga dengan G10, iaitu penyokong-penyokong Azmin Ali.

”Dah terselit masuk pula wakil2 G10! Adakah kerana Zuraidah, seorang rakan Azmin Ali, jadi menteri kerajaan tempatan? Walaupun Azmin dan G10nya bukan ada parti pun!

”Lagi hebat apabila kerusi parlimen seperti Johor Bahru yang dimenangi olih PKR pada PRU14 nanti diisytihar sebagai kerusi untuk calon dari G10 pula pada PRU15.

”Andaian ini kerana sudah berlaku pun pemberian kuota jawatan untuk G10.” katanya.

Soal beliau, apa yang sudah berlaku kerana BN sedang diheret untuk mengiktiraf Perikatan Nasional kerana pemimpinnya ialah Muhyiddin.

”Dan bagi PRU 15, sudah diisytihar TS Muhyiddin sebagai PM. Kerusi yang bukan ori PPBM pun jadi kerusi PN, tapi bukan BN? Azmin bagaimana pula? Semua kerusi PKR, G10 punya?

”Wah, wah, wah,” ujarnya.

Beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin BN yang sudah berjawatan dalam kerajaan tidak menghampakan pengundi-pengundi yang berprinsip yang sedia menolak PH untuk kembali bersama BN dan Pas. – MalaysiaGazette