Ahad, 26 Ogos 2012

Selesai Segera Masalah Jeti Terbiar Dan Pulau Mentagor

Kerajaan negeri mahu masalah jeti awam di Sungai Pinang Kechil, Pulau Pangkor yang terbiar hampir 10 tahun lalu diambil tindakan segera, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut bagi mencari jalan untuk memastikan kedua-dua projek itu tidak berterusan dalam keadaan terbiar.

“Kita akan fikir sama ada jeti awam itu mahu diserahkan kepada Perbadanan Pertanian Negeri Perak ataupun Persatuan Nelayan Pangkor untuk dibangunkan semula,” katanya.

Beliau berharap masalah itu dapat ditangani segera dan usaha tersebut diharap mampu menukarkan jeti itu dari kawasan yang terbiar kepada pusat perhentian nelayan serta kegunaan lain.

Sementara itu, Kong berkata, pihaknya melalui Jabatan Laut telah mengarahkan pegawainya meninjau kesesuaian kawasan tersebut samaada untuk dijadikan aktiviti nelayan atau dibangunkan dengan projek bangunan pejabat sahaja.

“Pegawai saya sedang berbincang dengan pegawai dari Kementerian Pertanian dan pemohonan nelayan akan dilihat dari segi kegunaan yang bersesuaian,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry turut menyatakan kebimbangan beliau terhadap masalah yang berlaku di marina Pulau Mentagor yang turut mengalami masalah yang sama.

Beliau memberitahu, kerajaan Pusat telah membelanjakan RM28 juta untuk membangunkan kawasan tersebut namun dukacita apabila ia terbiar begitu sahaja setelah 10 tahun dibangunkan.

“Dalam hal ini saya juga meminta Ahli Parlimen Lumut membantu kerajaan negeri dan cadangan telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi supaya pulau itu dapat diserahkan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya, keadaan pulau yang terbiar itu bukan sahaja mengecewakan malah turut mengundang bahaya kepada kapal serta bot yang menggunakan perairan tersebut.

“Ponton yang telah terputus dari tali telah hanyut di tengah laut malah ada yang tersadai di tepi pantai dan ini menimbulkan bahaya kepada laluan kapal serta bot yang lalu di sekitar Pangkor dan kawasan perairan antarabangsa Selat Melaka,” jelasnya.

Berhubung masalah itu, Kong berkata, sebelum ini satu tender bagi menyewa marina tersebut telah dibuat kepada mana-mana pihak yang berminat.

Walaubagaimanapun, disebabkan timbulnya masalah status tanah, pihaknya sedang mengkaji semula keputusan samaada marina itu akan terus disewa ataupun dijual kepada pengusaha yang berminat.

Perak Today

Tiada ulasan:

Catat Komen