Isnin, 28 Oktober 2013

Lagi kejayaan Mukhriz di KUIN

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir telah berjaya menjadikan Kolej Universiti Insanniah (Kuin) lebih baik dengan mengembalikan hak dan kebajikan kakitangan yang diabaikan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Pas sebelum ini.

Penolong Pegawai Tadbir Kanan Kuin, Asri Abdul berkata, Mukhriz dalam kunjungan mengejutnya pada majlis perjumpaan bulanan kakitangan Kuin pada 8 Jun lalu mengumumkan langkah konstruktif termasuk menjadikan kolej universiti itu sebagai sebuah badan berkanun negeri, iaitu antara enam langkah bagi menambah baik Kuin.

Langkah-langkah lain yang dilakukan oleh Menteri Besar Kedah tersebut ialah kenaikan gaji 13 peratus, kenaikan elaun COLA, kenaikan satu tangga gaji, pemberian bonus, mengguna pakai semua pekeliling yang diumumkan Kerajaan dan menjadikan Kuin sebagai badan Berkanun Negeri.

Asri berkata, enam langkah untuk menambah baik Kuin itu merupakan antara perkara-perkara yang dituntut oleh Skuad Bersih Kuin dan Mukhriz telah menunaikan janjinya untuk membantu kakitangan Kuin yang selama ini tertindas.

"Hak-hak kami yang terabai sebelum ini pada zaman pemerintahan Pas telah dikembalikan oleh Mukhriz dan Kuin kini berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding dahulu.

"Soal gaji kakitangan juga dah diselesaikan, anak-anak syarikat yang membebankan kewangan Kuin juga dah tak ada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Asri yang juga wakil Gerakan Bersih Kuin, keputusan Mukhriz untuk memindahkan Kuliyyah Muamalat yang mempunyai 1,200 pelajar dari kampus tetap Kuin di Kuala Ketil ke kampus Kuin Mergong juga merupakan satu keputusan yang wajar memandangkan kos operasi di kampus tetap di Kuala Ketil memakan belanja yang tinggi.

"Selepas Mukhriz mengambil alih Kedah,beliau arahkan untuk kaji balik kos pengajian di kampus tetap Kuala Ketil dan kos operasi di sana tinggi sebab itu beliau arahkan Kuliyyah Muamalat dipindahkan semula di Kampus Kuin Mergong.

"Sekarang ini hanya ada beberapa kuliyyah sahaja yang beroperasi di kampus tetap Kuin di Kuala Ketil," ujarnya.

Katanya, perpindahan Kuliyyah Muamalat dari kampus tetap di Kuala Ketil juga dipersetujui olehkakitangan dan pelajar Kuin malah Mukhriz membuat keputusan untuk memindahkan operasi Kuliyyah Muamalat setelah berdiskusi dengan kakitangan serta pelajar.

"Rata-rata kakitangan Kuin tinggal di Alor Setar dan jarak untuk ke Kuala Ketil jauh dan menyukarkan kakitangan dan kami semua sambut baik bila Mukhriz buat keputusan untuk pindahkan operasi Kuliyyah Muamalat di Mergong," jelasnya.

Asri berkata, kampus tetap di Kuala Ketil yang bernilai RM330 juta itu juga tidak mempunyai asrama untuk menampung 6,000 pelajar serta masjid dan ini menyukarkan pelajar serta kakitangan.

"Bagaimana sebuah kampus hendak dikatakan sebagai kampus tetap sedangkan asrama dan masjid tidak ada seperti dalam pelan asal, macam mana kakitangan dan pelajar hendak buat aktiviti. Segala keputusan yang dibuat Mukriz untuk Kuin adalah tepat," katanya. - UTUSAN