Khamis, 14 November 2013

Jambatan Palekbang 17 tahun tak siap

Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya merasa malu kerana tidak mampu untuk mengotakan janji membina jambatan merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan Kampung Cina di Kota Bharu dengan Palekbang, Tumpat.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, perkara tersebut menjadi lambang kegagalan yang jelas kepada Kerajaan Pas Kelantan dalam menunaikan setiap janji kepada rakyat.

"Rakyat sepatutnya sudah boleh menilai dakwaan yang dibuat oleh kami sebelum ini berkaitan dengan isu tersebut. Ini jelas membuktikan dakwaan tersebut benar dan kerajaan negeri perlu bertanggungjawab sepenuhnya," katanya Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meminta Kerajaan Pusat menimbang untuk membina Jambatan Palekbang tersebut.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Sultan Muhammad meminta Kerajaan Pusat menimbang untuk membina jambatan merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan Kampung Cina di Kota Bharu dengan Palekbang, Tumpat iaitu projek yang dijanjikan Kerajaan Pas Kelantan kepada rakyat sejak 17 tahun lalu tetapi belum ditunaikan.

Titah baginda, pembinaan jambatan tersebut penting bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku di bandar ini pada waktu puncak.

Projek tersebut diumumkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1996 dan ayahanda Sultan Muhammad yang juga Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra telah dijemput dan berkenan mencemar duli meletakkan batu asas sebagai simbolik pelaksanaannya.

Namun, selepas 17 tahun, kerja-kerja pembinaan jambatan itu belum bermula dan satu-satunya 'kenangan' yang masih ada di tapak pembinaan jambatan itu ialah batu asas yang dibina.

Wan Khairul Ihsan memberitahu, hasrat tuanku tersebut memperlihatkan pengiktirafan baginda yang kepada Kerajaan Pusat dalam penyediaan prasarana pembangunan di negeri ini demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan seandainya Kerajaan Pusat mahu membantu merealisasikan cadangan tersebut.

"Seperti mana yang kita ketahui projek jambatan tersebut merupakan antara komponen dalam projek pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan yang dilaksanakan secara usahasama dengan syarikat Liziz Standaco Sdn. Bhd.

"Sepatutnya kerajaan negeri sudah boleh memulakan pembinaan projek tersebut kerana, difahamkan beberapa buah bangunan dibina oleh pemaju telah terjual dan membabitkan keuntungan yang agak lumayan.

"Bagi saya kerajaan negeri sudah tidak boleh berdolak-dalik dalam isu ini dan mereka perlu mengemukakan maklumat penuh berhubung isu ini," ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia ke Kampung Palekbang mendapati, kawasan yang menempatkan batu asas projek tersebut dipenuhi semak-samun, malah pihak berkenaan didapati telah menutup kawasan berkenaan bagi mengelak ia diceroboh berikutan dakwaan terdapat aktiviti mencari galian berharga di situ.