Ahad, 17 November 2013

Serambi Mekah atau Serambi Pattaya?

Jabatan Imigresen Kelantan menahan 20 wanita warga Thailand dan Kemboja yang berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam operasi di dua kelab malam haram di Gua Musang berhampiran Jalan Kuala Lipis di sini semalam.

Dalam operasi bermula pukul 9 malam itu, semua GRO berusia antara 15 hingga 48 tahun itu dicekup ketika leka melayan pelanggan.

Ketua pegawai penguat kuasa jabatan itu, Abdul Basek Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan orang awam mengenai kegiatan tersebut.

Menurutnya, kesemua wanita yang ditahan itu didapati menyalah guna pas lawatan sosial dan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

"Kesemua mereka yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Basek memberitahu, sepanjang tahun ini pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 6,153 warga asing yang bekerja di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 993 ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk mereka yang berkhidmat sebagai GRO.

"Pemeriksaan ini melibatkan lokasi pembinaan, premis perniagaan dan pengangkutan awam dalam usaha mengesan warga asing yang masuk ke negara ini secara tidak sah.

"Pihak kami akan meneruskan operasi ini dalam usaha mengekang kebanjiran warga asing yang masuk secara tidak sah ke negeri ini," katanya.