BALIK PULAU, 6 Mei – Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Anggota Parlimen Balik Pulau, terus membantah hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP untuk menambak laut di kawasan Gertak Sanggul yang terletak di kawasan selatan negeri itu.
“Kawasan Gertak Sanggul ini kaya dengan hasil laut seperti siput, udang dan ikan. Kawasan ini merupakan kawasan yang istimewa kerana ia terlindung dari musim tengkujuh yang membolehkan nelayan dan orang ramai mencari sumber laut sepanjang tahun,” katanya.
Beliau berkata rancangan penambakan laut itu akan mengganggu ekosistem kehidupan laut serta menjejaskan rezeki nelayan di negeri itu.
Sementara itu seorang suri rumah, Mahsuri Husin, 57, yang turut menyertai program mencari siput ketika ditemui turut senada dengan Dr Hilmi agar kawasan Gertak Sanggul tidak ditambak laut.
“Saya tidak setuju 100 peratus jika nak tambak laut kawasan ini. Inilah tempat nelayan mencari rezeki, juga kami. Bayangkan kalau ditambak tidak ada lagi aktiviti mencari siput seperti hari ini yang turut mendapat perhatian golongan kanak-kanak belajar mencari siput,” katanya.
Wanita yang berasal dari Sungai Batu, Teluk Kumbar itu, berkata beliau turut menjana pendapatan sampingan dengan mengutip siput di pantai itu dan kebiasaannya akan memperoleh 10 kilogram siput sehari dan kemudiannya dijual di restoran dengan harga RM30 untuk sekilogram siput.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Timbalan Menteri Kesiharan berkata, kementerian akan mengkaji permintaan Pertubuhan Pengamal Perubatan Ozon Malaysia untuk menyemak keputusan mengharamkan rawatan terapi ozon di semua salun kecantikan dan klinik.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan rawatan terapi ozon mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada pengguna, malah ia hanya membahayakan nyawa pengguna.
Rabu lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramanian mengumumkan pengharaman rawatan terapi ozon kerana ia boleh menyebabkan komplikasi perubatan sehingga menyebabkan kematian.
“Kita harap pengguna dapat berfikir dengan betul sebelum membuat rawatan berkenaan,” kata Dr Hilmi kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Jom Cari Siput Peringkat Parlimen Balik Pulau di Pantai Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, di sini hari ini.