Sabtu, 16 September 2017

ARKIB: KISAH MAHATHIR DULU DULU

MAHATHIR BAYAR USD1.2 JUTA UNTUK BERTEMU BUSH


01/10/1999
Mahathir ke London selepas lawatan 4 hari ke AS
NEW YORK 30 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berlepas ke London pada Rabu selepas lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat.

Semasa di sini, beliau berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-54 pada pagi Rabu, mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia yang tinggal di sini dan sekitarnya, berucap pada jamuan malam masyarakat korporat Asia, jamuan tengah hari Majlis Hubungan Luar dan mesyuarat pertama Majlis Perniagaan Malaysia-Amerika.

Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan berasingan dengan pemimpin-pemimpin industri pelancongan Amerika dan delegasi daripada Majlis Muslim Amerika.

Beliau mengakhiri lawatannya dengan mengunjungi kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) telekomunikasi, Lucent Technologies di New Jersey, yang telah menubuhkan pejabat di Koridor Raya Multimedia Malaysia.

Dr. Mahathir turut melahirkan penghargaan kepada Lucent Technologies kerana menghantar kakitangannya untuk mengajar di Universiti Multimedia di Cyberjaya.

Beliau percaya kerjasama antara Malaysia dan Lucent Technologies akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam perkembangan teknologi dan pendidikan.

Perdana Menteri akan menginap selama tiga malam di London sebelum berlepas ke Zimbabwe untuk menghadiri Dialog Antarabangsa Afrika Selatan ke-3 yang akan diadakan di Tasik Victoria. Beliau akan berlepas pulang ke tanah air pada 6 Oktober.

Sementara itu di Singapura, Lucent Technologies berkata, semasa lawatan berkenaan, Dr. Mahathir menyaksikan demonstrasi mengenai penyelidikan teknologi terbaru bagi telekomunikasi termasuk "kamera pada cip" dan pengesahan cap jari.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Lucent Technologies, Ben Verwaayen berkata dalam satu kenyataan: "Kami amat berbesar hati menerima kunjungan Perdana Menteri ke makmal kami. Kami telah bekerjasama rapat dengan MSC dan pengusaha utama telekomunikasi di Malaysia untuk menyediakan teknologi tercanggih bagi pasaran telekomunikasi mereka yang sedang berkembang."

Katanya, syarikat itu komited untuk turut serta dalam kejayaan MSC dan sektor telekomunikasi secara keseluruhannya dan amat gembira menyambut kedatangan Dr. Mahathir ke pusat inovasi Lucent.

Lawatan itu dicadangkan kepada Dr. Mahathir semasa mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC tahun ini dan Lucent Technologies adalah anggota panel itu.

Lucent Technologies, yang mempunyai pejabat di Singapura, berkata ia boleh membantu MSC menggunakan teknologi suara dan rangkaian data terkini MSC yang boleh menjadi model bagi seluruh negara. - Bernama