Selasa, 7 November 2017
Penyelesaian Isu Banjir, Tidak Boleh Guna Pendekatan ‘Adhoc’:- DSD Dr Zambry Abd Kadir
Dalam menangani isu banjir di sekitar parlimen Lenggong dan Gerik, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir meminta agar penyelesaian secara menyeluruh dan jangka masa panjang dilakukan.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta semua pihak terlibat supaya berganding melaksanakan perancangan bersama seperti mana usaha menyelesaikan banjir di Kerian menerusi pelaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kerian.
“Jadi kita fikir kawasan parlimen Grik dan Lenggong khususnya Ulu Perak ini memerlukan satu pelan secara menyeluruh kita tidak boleh lagi hanya berdasarkan pendekatan adhoc.
“Saya tidak mahu dengar alasan bahawa ini kerja Jabatan Kerja raya (JKR), ini tugas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ini tugas majlis dan sebagainya.
Pendekatan negeri Perak biasanya kita akan duduk bersama dan lihat apa yang dapat saling bantu-membantu,” kata Datuk Seri Diraja Dr Zambry.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan tinjauan ke kawasan banjir di Lenggong, semalam. Tambahnya, pada masa ini kejadian banjir adalah di luar ramalan dan jangkaan, namun di pihak Kerajaan Negeri sentiasa mengambil beberapa inisiatif termasuk mewujudkan beberapa bilik gerakan untuk bagi menghadapi sebarang kemungkinan biarpun bukan musim tengkujuh.
“Kita tidak dikejutkan apabila dimaklumkan (banjir) yang berlaku pada hari ini (Isnin), jika kita tak jangkakan pada masa itu kita akan kelam kabut sedikit tapi Alhamdulillah tempoh beberapa tahun ini kita sentiasa bersedia dan ini pendekatan kita.
“Saya nak berikan perhatian di kawasan kuala Sungai Perak ini terutamanya di kawasan di tebing sungai walaupun kawasan hari ini (banjir) tidak melibatkan kawasan Sungai Perak namun dengan taburan hujan di kawasan Hulu Perak perlu diambil tindakan-tindakan awal.
“Ini bukan amaran mengejutkan yang saya berikan tetapi tindakan awal seperti tahun sebelum yang kita lakukan,” ujar Datuk Seri Diraja Dr Zambry. Hadir sama masa sesi tinjauan banjir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad; , Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah serta ADUN Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris.