Isnin, 5 Februari 2018

TIAN CHUA KENA LAGI

TERKINI





Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 2 Mac 2018 depan untuk keputusan permohonan rayuan Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung sabitan dan hukuman denda RM3,000 atas kesalahan mengaibkan seorang pegawai polis, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ab. Karim Ab. Rahman turut menetapkan tarikh tersebut sebagai keputusan silang pendakwaan untuk meningkatkan hukuman terhadap Tian Chua.

Pada 9 Mac tahun lalu Tian Chua didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada seorang pegawai polis.

Hakim Yasmin Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pada 12 Ogos 2014, Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, mengaku tidak bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya DSP Glenn A. Sinappah bagi mengaibkan kehormatannya.

Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama lobi Hotel Armada pada 7.45 malam, 14 April 2014 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum penjara minimum setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas. – 5 Februari 2018.

TIAN CHUA 2016



KUALA LUMPUR 28 September 2016. - Naib Presiden PKR, Tian Chua dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,800 selepas didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam satu ceramah, tiga tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Hakim berkenaan bagaimanapun membenarkan permohonan Tian Chua untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut sementara menunggu rayuan.

Ahli Parlimen Batu itu turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Tian Chua, 53, didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE


TIAN CHUA 2017


PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Batu Tian Chua akan menjalani hukuman penjara selama sebulan seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen kerana tidak mematuhi arahan polis.

Ini susulan langkah tidak diduga anggota parlimen itu yang menarik balik rayuan terakhirnya berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan hasrat Tian Chua untuk menarik balik rayuannya selaras dengan hak beliau menurut Perlembagaan Persekutuan.

Mohtarudin berkata sabitan serta hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000 yang dijatuhkan terhadap Tian Chua oleh Mahkamah Sesyen dan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, adalah selaras dengan undang-undang.


Kegagalan Tian Chua, 54, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, mematuhi arahan polis merupakan satu kesalahan, katanya.

Mohtarudin seterusnya membatalkan rayuan Tian Chua dan mengeluarkan waran komital terhadap anggota parlimen itu.

Beliau memerintahkan Tian Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, menjalani hukuman penjara itu bermula Jumaat.

Tian Chua yang berbaju biru dan berseluar hitam, dilihat tersenyum sepanjang prosiding mahkamah.

Beliau kemudian dibawa keluar dari mahkamah oleh dua anggota polis selepas prosiding tamat sebelum dibawa ke Penjara Kajang pada tengah hari.

Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014 kerana enggan mematuhi arahan DSP A. Rajagopal agar meninggalkan kawasan Pulapol di Jalan Semarak pada 2.30 petang, 29 April 2012, sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.

Mahkamah menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000.

Beliau membayar denda itu.

Tian Chua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi namun ditolak pada 30 November tahun lepas.

Dalam prosiding pada Jumaat, seorang daripada peguamnya, N. Surendran, memberitahu mahkamah yang mereka (pasukan pembelaan) menerima arahan untuk tidak mewakili Tian Chua serta Tian Chua sendiri mahu membuat kenyataan di hadapan mahkamah.

Selain Surendran, dua lagi peguam yang mewakili Tian Chua dalam kes itu ialah Latheefa Koya danShahid Adli Kamarudin.

Tian Chua kemudian berdiri di dalam kandang dan membaca kenyataan yang sudah disediakan sebelum memberitahu mahkamah yang beliau menarik balik rayuannya.

Pada masa sama beliau menekankan bahawa penerimaan hukuman penjara itu bukan satu pengakuan bersalah.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Noraini Mohd Nor.

Selepas prosiding itu Latheefa Koya memberitahu pemberita bahawa Tian Chua akan menjadi penyandang anggota parlimen pertama yang dipenjarakan.

Sementara itu, mengenai status Tian Chua sebagai Anggota Parlimen, Surendran berkata Tian Chua tidak akan hilang kelayakan serta boleh bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Katanya seseorang anggota parlimen hanya hilang kelayakan jika wakil rakyat terbabit dipenjarakan lebih setahun atau denda lebih RM2,000 jika disabitkan.

Tian Chua berkemungkinan dibebaskan menjelang akhir Oktober ini dan akan sempat menghadiri sesi persidangan Parlimen, katanya. - BERNAMA