Selasa, 8 Oktober 2019

Akhirnya Najib razak Akui - isu Tanah KTM Tanjung Pagar dilepaskan



PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bahawa beliau menjual tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM) di Tanjung Pagar, Singapura.

Beliau berkata, banyak pihak kelihatan tidak memahami isu tersebut.

Najib berkata, perjanjian asal untuk menamatkan perkhidmatan stesen di Tanjung Pagar dan menukar status tanah itu tidak dibuat oleh beliau, tetapi dirundingkan oleh menteri kewangan pada 1990.

Pada 1990, di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, menteri kewangannya ialah Tun Daim Zainuddin.

 
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, di bawah perjanjian 1990 tersebut, Malaysia bersetuju untuk memindahkan stesen Tanjung Pagar ke stesen baru di Kranji.

“Sebagai pampasan, Malaysia mendapat hak untuk membangunkan 3 keping tanah milik KTM di Tanjung Pagar, Kranji dan Woodlands dalam satu usaha sama dengan kerajaan Singapura dengan nisbah 60% kepada Malaysia dan 40% Singapura.

“Selepas perjanjian itu dibuat oleh kerajaan perdana menteri ke-4, ia tidak menghormatinya dan meminta 3 keping tanah di Bukit Timah, yang juga dimiliki oleh KTM, dimasukkan sekali,” kata Najib di laman Facebook beliau.

Katanya, Singapura kemudiannya bersetuju memasukkan tanah Bukit Timah ke dalam pelan pembangunan bersama itu, tetapi Malaysia masih tidak mahu menghormati perjanjian tersebut berikutan pertelingkahan dengan republik berkenaan dalam beberapa isu lain pada masa itu.


“Akibatnya, perjanjian itu dan tanah milik KTM terbiar begitu sahaja selama 20 tahun tanpa satu sen hasil diperolehi,” katanya.

Bekas presiden Umno itu berkata, tanah terbabit diberikan kepada KTM pada 1918 di bawah Akta Keretapi pada masa itu.

Tanah tersebut merupakan pajakan selama 999 tahun, dan kegunaannya dihadkan kepada landasan keretapi. Ia tidak boleh dibangunkan atau digunakan untuk projek lain.

Najib berkata, kebanyakan tanah tersebut sempit kerana sifat landasan keretapi tidaklah luas.

“Jika Singapura tidak bersetuju dengan kita dan tidak menukar status kegunaan tanah, tanah milik KTM itu akan ‘mereput’ begitu sahaja.

“Jika anda tunggu selama 999 tahun lagi ia tidak akan membawa satu sen pun hasil kepada sesiapa. Tambahan lagi kita perlu membayar cukai tanah kepada Singapura,” katanya.

Pada 2010, kata Najib, beliau berunding semula dengan kerajaan Singapura dan mencapai perjanjian baru dengan republik itu yang bersetuju memberi 4 keping tanah di Marina Bay (berhampiran Marina Bay Sands) dan 2 keping di Ophir-Rochor sebagai ganti bagi satu keping tanah di Tanjung Pagar, satu di Kranji, satu di Woodlands dan 3 keping di Bukit Timah.

Beliau berkata, pihak yang mengenali Singapura akan tahu bahawa tanah di Marina Bay merupakan tanah paling berharga di republik tersebut, sementara Ophir-Rochor adalah pusat perniagaan baru negara berkenaan.

“Ia jauh lebih berharga daripada tanah di Bukit Timah dan Kranji,” katanya.

Najib berkata, tanah terbabit dibangunkan secara usaha sama oleh Malaysia dan Singapura di bawah M-S Pte Ltd, yang 60% pemilikannya diletakkan di bawah Khazanah Nasional Bhd.

Projek di Marina Bay, yang dinamakan Marina One, bernilai S$7 bilion (RM21.3 bilion), sementara projek Ophir-Rochor pula bernilai S$4 bilion (RM12.2 bilion).

Beliau berkata, kedua-dua projek berkenaan berjaya disiapkan pada awal tahun ini dan memberi hasil yang lumayan kepada Malaysia.

“Projek Marina Bay mempunyai keluasan 3.67 juta kaki persegi, meliputi 2 buah menara mewah setinggi 34 tingkat, 2 bangunan pejabat gred A setinggi 30 tingkat dan pusat membeli belah dikenali sebagai “The Heart”.

“Banyak syarikat ternama seperti Facebook, PwC, Grab, bank komersil dan sebagainya telah berpindah ke Marina One dan mereka mula membayar sewa kepada syarikat milik Khazanah, yang akan menjamin pulangan berterusan jangka panjang kepada kita,” katanya.

Najib berkata, beberapa bulan lepas media Singapura melaporkan bahawa Khazanah, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), sedang berunding untuk melepaskan pegangan dalam M-S Pte Ltd kepada kerajaan Singapura.

“Walaupun kerajaan menafikan perkara itu, namun saya menjangka tidak lama selepas ini, mereka akan menjualnya dengan alasan ia bukan aset strategik,” tambah beliau.