Selasa, 22 Julai 2008

Pemasangan tanda jalan bahasa Cina tidak perlu

KUALA LUMPUR: Pemasangan papan tanda jalan dalam bahasa Cina di Pulau Pinang oleh sebuah parti politik semalam, dianggap pelbagai pihak sebagai usaha mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan satu percubaan untuk mengorbankan jati diri negara.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata: “Perlembagaan negara dengan jelas menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, maka dengan itu semua tanda rasmi hendaklah menggunakan bahasa Melayu.”

“Ini adalah sebahagian daripada kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh datuk nenek kita dahulu dan adalah diharap tiada sesiapa yang cuba mencabar perkara ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azalina turut menegur pihak terbabit yang cuba mengaitkan kementerian itu dengan tanda jalan berkenaan.

Beliau yang memandang serius tindakan itu berkata, pihak terbabit juga tidak pernah mendapat kebenaran dari kementerian berkenaan berhubung penggunaan logo ’Visit Malaysia’ pada tanda jalan itu.

“Kita akan meneliti tindakan yang perlu diambil pihak terbabit berhubung penyalahgunaan logo tersebut,” katanya.

Sementara itu, tokoh bahasa Melayu Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, beliau tidak bersetuju sama sekali dengan pemasangan tanda jalan itu dan menyifatkan tindakan itu sebagai mengorbankan jati diri negara.

“Sesebuah negara harus mencerminkan jati diri masing-masing. Bahasa kebangsaan kita adalah bahasa Melayu, jadi kenapa harus ditonjolkan bahasa lain yang diangkat hampir sama tinggi dengan bahasa kebangsaan?” katanya.

Dr Nik Safiah berkata, sekalipun ingin menarik perhatian pelancong, bahasa kebangsaan haruslah diutamakan.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Nordin Awang pula berkata pihak yang terbabit dalam pemasangan tanda jalan tersebut harus jelas bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa utama dalam perlembangan.

“Saya rasa apa yang mereka lakukan itu mencabar kedudukan bahasa Melayu dalam negara yang berbilang bangsa ini. Menjadi amalan dan praktis selama ini, semua tanda jalan di negara ini adalah dalam bahasa Melayu,” katanya.

Setiausaha Agung Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Wee Ka Siong berpendapat tindakan pemasangan tanda jalan itu tidak harus dijadikan satu isu.

Katanya, sebagai sebuah negara berbilang kaum tidak salah sekiranya papan tanda dibuat dalam bahasa lain.

“Saya rasa perkara ini bukan untuk menimbulkan sensitiviti mana-mana pihak,” katanya. - Bernama

Ustaz Lim Guan Eng berkata. sekiranya ada orang Cina datang berjumpa dia dan ingin bercakap tentang perpaduan bangsa Cina maka dia tidak akan melayan. Sekiranya kehadiran mereka hadir untuk bercakap soal bangsa Malaysia dia akan melayan.

Ini pula ada usul untuk memasang tanda nama jalan dalam bahasa cina. Yang peliknya papan tanda itu bukan dipasang oleh DAP tetapi oleh parti komponen BN iaitu Pemuda Gerakan. Apakah mimpi dan angan-angan Parti Gerakan. Apakah mereka cuba belot dengan BN? Semua orang tahu Gerakan adalah Parti Pembangkang yang pernah terbabit dengan peristiwa May 13 dahulu. Cukuplah kalau kita berada di Pulau Pinang tidak banyak papan tanda perniagaan dalam bahasa melayu.

kalau kita ke Brunei suasana amat berbeza. Tulisan jawi menguasai semua papan tanda pernigaan dan mencerminkan negara kecil itu mengutamakan bahasa melayu dan tulisan melayu dan kita akan berasa suasana berada dalam alam melayu. Cukuplah Pulau Pinang mestilah mencerminkan Malaysia , bukan Hong Kong atau Taiwan.