Utusan Malaysia.(forum)
SAYA mahasiswa di universiti tempatan ingin memberikan sedikit teguran kepada pemimpin Pas. Jika kita imbau perjuangan Pas pada masa lampau, para pemimpinnya selalu mengatakan bahawa haram dan kafir menjadi ahli UMNO. Hujah mereka ialah UMNO berbaik-baik dengan MIC dan MCA serta tidak melaksanakan hudud.
Mereka mendakwa memperjuangkan Islam yang benar dan mereka memperjuangkan hudud di Malaysia. Tapi kini mereka juga berbaik-baik dengan bukan Islam.
Jika benar mereka sudah berbaik-baik dengan bukan Islam, adakah Pas kini juga menjadi kafir? Itu yang menjadi persoalannya, atau mungkin Pas boleh mengubah hukum Islam jika mereka ada kepentingan politik?
Persoalan lain, mengapa pada suatu ketika dahulu Pas mengatakan wanita tidak boleh menjadi calon pilihan raya, tapi mereka juga meletakkan calon wanita pada pilihan raya 2004. Adakah al-Quran telah berubah? Kekalahan besar Pas pada pilihan raya 2004 mungkin disebabkan mereka mempermainkan hukum Islam.
Pada tahun 1999, ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, maka pemimpin Pas sebulat suara mengutuk Tun Dr. Mahathir dan menuduh Dr. Mahathir sebagai firaun. Pemimpin Pas selalu mendakwa Mahathir adalah pemimpin yang teruk. Tapi kini, pada tahun 2006, mengapa Pas menjemput Mahathir ke majlis-majlis yang dianjurkan bersama oleh Pas?
Adakah Pas kini juga adalah pengikut firaun?
Wahai pemimpin Pas, janganlah anda mempermainkan al-Quran dan sunah untuk tujuan politik.
– ZAKI KELATE,
Kota Bharu, Kelantan.