Sabtu, 1 November 2008

Kalau di Pudu Raya mereka di panggil Ulat.

Perayu undi, ejen calon diarah pulang

Oleh Anwar Hussin, Abdul Halim Yusoff dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my




Tindakan jika terus 'berkampung' di hotel besar

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam menetapkan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan selama lima hari bermula 24 hingga 28 Mac depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, Abdullah yang juga Presiden Umno, memberi amaran kepada pelobi, perayu undi dan ejen calon, yang kini berada di sekitar hotel di sini dan beberapa bandar lain, supaya pulang ke kawasan masing-masing atau menghadapi tindakan disiplin.


Katanya, Ibu Pejabat Umno tahu mengenai kehadiran ramai pelobi dan ejen calon yang 'berkampung' di beberapa hotel besar dan mungkin terbabit dengan kegiatan rasuah politik.

"Mereka ini sedang berada di hotel di KL (Kuala Lumpur) dan negeri untuk kempen secara langsung dan tidak langsung mendorong mengundi atau jangan mengundi (calon tertentu).

"Gejala ini berleluasa dan berlaku di hotel sebagai tempat pertemuan. Bagi mengelak menjadi lebih ketara, saya dan juga MT ingin beri amaran kepada mereka agar pulang ke kawasan masing-masing sebelum dikesan pemantau yang sudah mula menjalankan tugas mereka," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT selama dua setengah jam, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, MT juga mengarahkan semua calon yang memegang jawatan dalam kerajaan berhenti menggunakan jentera kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi tujuan meraih undi dan sokongan.

"Saya nasihatkan mereka menghentikan menggunakan jentera kerajaan (untuk berkempen) dan saya juga nasihatkan kumpulan tertentu agar berhenti menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) fitnah atau tohmahan terhadap calon," katanya.

Beliau meminta ahli Umno yang menerima SMS berbentuk tohmahan itu agar tidak terpengaruh atau mempercayainya kerana fitnah boleh menghancurkan parti.

"Saya memberi amaran kepada calon yang bertanding supaya merujuk kepada tata etika Umno dan mereka yang melanggarnya akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno.

"Tindakan yang dikenakan adalah selaras dengan Perlembagaan parti, bukan saja kepada penerima, tetapi juga pemberi," katanya.

Abdullah turut mengumumkan Ibu Pejabat Umno akan mengatur pertemuan khusus bagi membolehkan semua calon yang bertanding bertemu dengan ahli pada peringkat negeri.

Pertemuan itu, katanya, akan diatur di semua negeri bagi memberi peluang calon yang bertanding memperkenalkan diri kepada perwakilan dan ahli Umno.

Beliau berkata, MT juga membincangkan beberapa isu politik dan sosial untuk ditangani sebaik mungkin.

"Perkara ini akan dihalusi dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan akan datang, laporan mengenainya akan dinyatakan kepada MT untuk dibincang dan membuat keputusan," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai calon pilihan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, Abdullah berkata, beliau tidak mempunyai calon pilihan.

Abdullah berkata, kenyataannya sebelum ini yang Datuk Seri Mohd Ali Rustam layak bertanding bagi jawatan itu hanya untuk menjelaskan bahawa Ketua Menteri Melaka itu layak bertanding jawatan berkenaan.

Katanya, beliau berkata demikian kerana ditanya pemberita mengenai kelayakan Mohd Ali bertanding jawatan itu dan bukan bertujuan menyatakan sokongan beliau kepada calon berkenaan.

Apabila ditanya adakah kenyataan itu bermakna beliau tidak mahu perwakilan memberikan undi kepada seorang lagi calon, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang membuat beberapa kenyataan berhubung isu peralihan kuasa, Abdullah berkata: "Tidak, tidak... itu tidak betul".

Menjawab satu soalan, Abdullah berkata beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri itu sebaik perhimpunan parti selesai.

"Beberapa hari selepas (perhimpunan)... bagi menyelesaikan beberapa perkara," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, MT sudah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan untuk menetapkan garis panduan berkempen oleh calon mengikut etika.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Komen/ Ulasan:

Tugas mereka ialah mencari siapa yang ingin bertanding MT dan mereka akan bekerja sebagai Kempen Manager kepada calon-calon tersebut.

Mereka ini telah lama buat kerja ini dan mempunyai hubungan yang baik dengan calon-calon sebab itu lah kerja mereka bila tiba musim pemilihan.

Setelah menerima kontrak mereka akan bertebaran ke seluruh kawasan kecuali Sarawak. Adalah sukar untuk menghalang mereka dari meninggalkan Kuala Lumpur kerana negara kita negara bebas.

Sesiapa pun boleh menginap di hotel-hotel seandainya mampu menanggung kos yang tinggi. Kalau tak mampu bayar bill hotel sudah tentu awal-awal dah cabut lari.

Tidak ada undang-undang yang boleh menghalang seseorang rakyat Malaysia dari menginap di sesebuah hotel.

Jika perlu mereka juga akan membawa calon-calon bertemu dengan perwakilan bahagian di luar kawasan atau pun di Kuala Lumpur. Meriah sungguh suasana setiap kali pemilihan dan sudah tentu akan meriah seperti 1993 jika tidak di kawal.

Dengan cadangan MT terbaru supaya majlis perjumpaan rasmi antara calon dan perwakilan di daerah atau negeri akan memberi peluang untuk mereka berkenal mesra dan dengan cadangan itu juga DEBAT yang dicadangkan oleh KJ tidak perlu di jalankan.