Ahad, 22 Februari 2009

MELAKA – DI SINILAH SEGALA-GALANYA BERMULA

PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
PADA 31 OGOS 1957

PENGISYTIHARAN kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah dilakukan di Stadium Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957 oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan jeritan tujuh kali ‘MERDEKA !’ dengan disambut dengan gemuruh oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang membanjiri Stadium tersebut.

Pengistiharan tersebut telah disaksikan oleh wakil Kerajaan British, Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, dan Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan Tanah Melayu. Secara simbolik, tepat jam 12 tengah malam, 30 Ogos 1957, bertempat di Padang Kelab Selangor, bendera ‘Union Jack’ telah diturunkan dan digantikan dengan bendera resmi Persekutuan Tanah melayu.

BAB YANG KEDUA PULUH SATU
PENUBUHAN PERSEKUTUAN MALAYSIA

Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, YTM Tunku Abdul Rahman berpendapat adalah wajar jika negeri-negeri di Borneo yang terdiri dari Sabah ( Borneo Utara ) dan Sarawak dapat disatukan di bawah satu pentadbiran agar dapat menyatupadukan penduduk di sana dan penduduk di Persekutuan Tanah Melayu.

Ceritanya bermula apabila YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menghadiri Persidangan Negara-Negara Komanwel di London pada tahun 1960.Dari segi hubungan dengan Negara luar, Tunku mengadakan kerjasama serantau di Asia Tenggara melalui penubuhan ASA ( Gabungan Negara-Negara Asia Tenggara ) pada 31 Julai 1961. Beliau mencadangkan agar diwujudkan kerjasama antara kawasan Borneo dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Cadangannya yang dibuat pada 27 Mei 1961 ini dianggap sebagai asas kepada pembentukan gagasan Malaysia. Dari situlah bermulanya rundingan dengan pemimpin-pemimpin Singapura, Borneo Utara, Sarawak, dan Persekutuan Tanah Melayu dengan sokongan daripada Kerajaan British di dalam pembentukan Malaysia.

Sebelum Persekutuan Malaysia dibentuk, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan pada bulan Januari 1962 yang mana ianya adalah merupakan sebuah badan bebas untuk mengkaji penubuhan Malaysia. Suruhanjaya tersebut dinamakan ‘Suruhanjaya Cobbold’ dan dibantu oleh Tan Sri Ghazali Shafie, Dato’ Wong Pow Nee, Sir Anthony Abell, dan Sir David Watherson.

Tanggungjawab Suruhanjaya ini adalah:

a) Meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai penyatuan mereka di dalam Malaysia.
b) Merangka satu perlembagaan baru bagi Persekutuan Malaysia yang bakal dibentuk.

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah diterbitkan pada bulan Ogos 1962. Di laporan itu terdapat beberapa perbezaan pendapat terhadap perkara-perkara asas. Ia mencadangkan peralihan kuasa kepada pusat dilakukan dalam masa 12 bulan. Terdapat juga cadangan pembentukan Malaysia dibuat di dalam dua fasa. Fasa pertama adalah pemindahan soal-soal hubungan luar, hal ehwal dalam negeri dan pertahanan diletakkan kepada pusat. Soal-soal pentadbiran tempatan hanya dilangsungkan dalam tempoh tiga hingga tujuh tahun.

Gabernor Sabah dan Sarawak diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal ini. Cadangan Suruhanjaya Cobbold dibincangkan di London pada pertengahan bulan Julai 1962. Pendirian tegas Persekutuan Tanah Melayu telah membolehkan Malaysia diterima oleh ‘House of Commons’ pada 19 Julai 1962 dan ‘House of Lords’ seminggu kemudian.Kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia adalah setaraf saperti Singapura.

PERLEMBAGAAN MALAYSIA :
Pengistiharan Malaysia telah dibuat pada 16 September 1963. Perlembagaan Malaysia adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Struktur Kerajaan Persekutuan yang berdasarkan kepada Perlembagaan 1957 adalah dikekalkan. Di bawah Perjanjian Malaysia, Negeri Sabah dan Sarawak telah diberi 20 perkara daerah istimewa ( extra-territorial rights ). Secara ringkasnya empat tema penting berada di dalam perhatian negeriu-negeri tersebut, iaitu:

a) Sabah dan Sarawak dibenarkan menguasai hal-ehwal dalam negeri masing-masing.
b) Kaum bumiputera Sabah dan Sarawak diberi hak istimewa yang sama dengan kaum Melayu di Tanah Melayu.
c) Bahasa Inggeris dibenarkan menjadi bahasa rasmi di Sabah, Sarawak, dan Singapura.
d) Status Singapura sebagai sebuah pelabuhan bebas dikekalkan.

Singapura telah disingkirkan dari Malaysia pada tahun 1965 di atas keputusan nekad dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj demi menjaga kepentingan Malaysia. Lee Kuan Yew mempertikaikan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk pribumi Malaysia, dan mendakwa bahawa orang Melayu adalah kaum pendatang sebagaimana kaum Cina dan India. Pada saat genting itu, UMNO di bawah pimpinan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj mahu perlembagaan Singapura diubah bagi menjamin masa depan orang Melayu. Saranan tersebut telah ditolak oleh Lee Kuan Yew walau pun beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Kejadian ini meyakinkan Tunku bahawa jika Singapura kekal di dalam Malaysia, ia akan mengundang rusuhan kaum di Malaysia. Atas dasar itu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965.

BAB YANG KEDUA PULUH DUA EPILOG

Melaka, di sinilah segalanya bermula. Inilah ungkapan yang sering bermain ditelinga kita pada hari ini. Malah YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka, sering mengulangi ungkapan ini di mana sahaja beliau memberi ucapan berkenaan dengan kegemilangan Negeri Melaka.

Bahawasanya ungkapan ini adalah benar. Kalau kita perhatikan perjalanan sejarah tanahair kita, kita sedar bahawa Negeri Melakalah yang memulakan coretan sejarah tanahair kita.

Dari mulanya Melaka dibuka oleh Parameswara pada tahun 1394, sehingga terbentuknya sebuah kerajaan baru di dalam pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1400, Melaka telah mengalami pelbagai pengalaman pahit dan manis. Manis kerana kegemilangannya di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka yang telah menonjolkan beberapa orang Sultan yang menjadikan Melaka sebagai sebuah empayar yang besar, kuat, dan masyhur hingga disegani oleh banyak negara, sehinggakan Cina, sebuah empayar yang besar ingin berbaik-baik dengan Melaka.

Keinginan Maharaja Cina untuk merapatkan hubungan diplomatik diantara negerinya dengan Melaka sehingga rela menyerahkan puterinya, Puteri Hang Li Poh untuk diperisterikan kepada Sultan Mansor Shah sehingga meninggalkan sebuah legenda kepada sebuah tempat bernama Bukit Cina di Jalan Munshi Abdullah.

Kegemilangan Negeri Melaka yang dapat menakluki beberapa jajahan di kawasan Nusantara ini telah menarik ramai pedagang-pedagang dan pendakwah-pendakwah untuk menjejaki bumi Melaka.

Akhirnya Melaka telah terkenal sebagai pusat perdagangan yang terbesar di rantau ini di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kegiatan pendakwah-pendakwah Islam juga telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di kawasan nusantara. Peranan pahlawan-pahlawan Melayu yang gagah berani yang ujud di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang lekir, dan Hang Lekiu, tidak dapat dinafikan, adalah salah satu faktor yang meninggikan martabat bangsa Melayu pada masa itu, ditambah pula dengan segala peradaban yang ujud di dalam istana Sultan Melaka.

Pahlawan-pahlawan Melaka begitu taat sekali kepada Raja yang memerintah. Peristiwa pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat adalah salah satu bukti yang jelas. Walau pun Hang Jebat adalah sahabat yang rapat sejak kecil, tetapi kerana angkara Hang Jebat yang mendurhaka kepada Raja, beliau rela kecundangkan Hang Jebat demi menunjukkan kesetiaannya kepada Raja.