Ahad, 22 Februari 2009

Raja Muda Perlis bimbang pelajar diperalat sebagai boneka

22/02/2009 4:46pm

KANGAR 22 Feb. — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bimbang pelajar yang gagal menguasai ilmu dan menghayati perlembagaan negara akan diperalatkan pihak tertentu sebagai boneka bagi mencapai matlamat peribadi mereka. Sehubungan itu, baginda berharap agar pelajar sentiasa berfikiran terbuka, berpengetahuan luas dan berupaya memahami perlembagaan negara supaya mampu membuat penilaian terhadap sesuatu isu secara matang dan rasional.

Bertitah pada program wacana sosial bertajuk Memasyarakatkan Perlembagaan anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini, baginda bertitah sejak kebelakangan ini, isu perlembagaan sering diperkatakan dan ia juga telah disalahertikan oleh pihak tertentu.

Katanya sekiranya masyarakat terpengaruh dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak yang mempunyai agenda peribadi, sudah pasti ia berupaya memporak-perandakan suasana harmoni yang telah lama wujud.

Baginda yang juga Canselor UniMAP menyarankan agar institusi pengajian tinggi di negara ini mewajibkan subjek perlembagaan dalam kurikulum mereka.

“Ini sebagai persediaan awal memastikan para pelajar yang bakal menjadi pemimpin masyarakat mengetahui dengan jelas maksud perlembagaan itu,” titah baginda.

Sempena majlis itu yang turut dihadiri pengetua, guru dan pelajar UniMAP, baginda turut menyerahkan buku Perlembagaan Persekutuan kepada pengetua sekolah untuk dijadikan bahan rujukan.

Baginda turut mengikuti forum bertajuk “Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan” yang turut diadakan sempena wacana itu.

Anggota-anggota panel forum itu terdiri daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Tan Sri Zainul Ariff Husain, Rektor Kolej Yayasan Melaka Prof Datuk Dr Ramlah Adam, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Profesor Kuliyah Undang-undang UIAM Prof Dr Abdul Aziz Bari.