Ahad, 2 Ogos 2009

Pemuda Parti Gerakan 2x5 macam GMI

Memorandum Parti Gerakan ditolak

KUALA LUMPUR- Hasrat Barisan Pemuda Parti Gerakan menghantar memorandum untuk meminta pihak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada Yang di-Pertuan Agong ditolak pihak Istana Negara semalam.

Ketua Pemuda Nasional Gerakan, Lim Sin Pin bersama 20 ahli Parti Gerakan akan bergerak dari Menara MAA, menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum.

“Memorandum berkenaan tidak dapat dihantar. Pihak Istana telah meminta kami menulis surat secara rasmi sehingga diberitahu kelak.

“Kami bukanlah menyokong pihak GMI atau dari mana-mana kelompok yang melakukan demontrasi, sebaliknya kami merasakan isu ISA ini sewajarnya diambil perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya.

Sin Pin berkata, pihak Pemuda Gerakan merasakan mereka memiliki pendapat yang sama mahukan ISA ini dikaji semula dan berharap satu hari nanti ISA ini akan dihapuskan sama sekali.

Hadir sama, Roger Chan dan A Saha Deva selaku Jawatankuasa Hak Asasi Manusia daripada Majlis Peguam Malaysia (BAR) yang bertindak sebagai pemerhati serta pasukan polis yang mengawal ketat sepanjang proses penyerahan memorandum tersebut berlangsung.

Ketika ditanya adakah mereka akan menyertai perhimpunan hari ini sebagai tanda menyokong pemansuhan ISA bersama GMI, Sin Pin berkata, pihaknya tidak bercadang untuk turut serta dalam perhimpunan tersebut.

“Kami telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Sabtu Osman bahawa perhimpunan ini adalah haram dan kami memang tidak akan sesekali akan menyertai demontrasi ini. Saya juga telah menasihati dan memberi jaminan tidak akan ada mana-mana ahli dari Parti Gerakan akan menyertai demontrasi ini.

“Tetapi, kami akan tetap hantar memorandum untuk meminta pihak kerajaan memansuhkan ISA ini kepada pihak Istana Negara. Kami jangkakan akan berjaya menyerahkannya pada minggu hadapan iaitu sebaik sahaja mendapat lampu hijau,” katanya.