Petikan dari Utusan
Untuk direnungkan bersama
TOPIK mengenai puak kanan dan puak kiri dalam UMNO menjadi tumpuan ruangan Opinion Corner, Sinchew Jit Poh, 1 Feb 2010 (Isnin). Dengan tajuk artikel, “Menghala Ke Kanan, Menghala Ke Kiri” penulis Tay Ting Yan iaitu timbalan editorial akhbar tersebut memperkatakan tentang Khairy Jamaluddin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ting Yan mengajak pembaca Sinchew melihat apa pandangan kedua-dua pemimpin itu terhadap masa depan UMNO.
Kata penulis itu, nampaknya Khairy dari puak menghala ke kanan dengan perlahan- lahan sudah menghala ke tengah-tengah, Mahathir pula daripada menghala ke kanan kini menghala ke kanan secara terlebih-lebih.
Konsep 1Malaysia yang dilancarkan Najib, kata penulis itu telah membawa Malaysia ke jalan yang lebih tengah. Tekanan yang Najib hadapi ialah daripada UMNO puak kanan, serta kumpulan masyarakat Melayu yang berfahaman konservatif.
Sebuah organisasi Melayu yang dinamakan Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali mendapat kritikan. Ibrahim memainkan isu ketuanan Melayu, mendesak pihak kerajaan menjaga kepentingan orang Melayu, mengkritik kerajaan menjaga kepentingan bukan Melayu, bangkitkan isu perkataan “Allah” melalui tunjuk perasaan.
Mahathir yang dikatakan semakin mirip ke kanan, berlagu seiring dengan Perkasa. Penulis itu mendakwa puak yang ke arah kanan ini juga cuba menarik orang UMNO masuk ke puak kanan, sesetengah pemimpin atasan UMNO juga telah ikut rentak yang sama.
Menurut Ting Yan, peranan Khairy agak luar biasa sedikit. Beliau memimpin Pemuda UMNO, dalam masa satu tahun ini, tingkah lakunya membelakangi tradisi Pemuda UMNO.
Pemuda UMNO tidak lagi melaungkan isu perkauman, tidak lagi membangkitkan isu agama. Beliau secara terbuka (termasuk apa yang pernah dinyatakan akhbar Sinchew Jit Poh terdahulu) mahu buka lembaran baru dalam isu pelbagai kaum, melaksanakan politik era baru, sekurang-kurangnya dalam tempoh singkat ini, beliau tidak membelakangi janji-janjinya.
Dalam isu perkataan “Allah” beliau menyatakan pendiriannya, lebih menyerlah daripada mana-mana pemimpin UMNO yang lain. Beliau mempunyai alasan yang kukuh dan bersikap sederhana. Beliau mencadangkan Pemuda Barisan Nasional bekerjasama dengan barisan Pemuda Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan isu-isu sensitif, ia adalah era baru kepada politik hari ini.
Selalunya UMNO mirip ke arah puak kanan, dahulunya pemuda UMNO sendiri mirip arah terlalu ke kanan. Hari ini Pemuda UMNO nampaknya lebih mirip ke kiri daripada induknya.
Jika kita analisis mengikut cara ini, dalam tradisi politik yang ada sekarang, adalah amat susah sekali untuk melakukan perubahan; keadaan Khairy juga bukan boleh sebarangan.
Baru-baru ini, banyak penulis blog yang menyebelahi UMNO, jawatankuasa-jawatankuasa Pemuda UMNO mahu Khairy meletak jawatan. Jika benar, dalam satu sudut lagi bermakna perubahan yang mahu dilakukan oleh Khairy itu akan mati di tengah-tengah jalan.
Dan jika kuasa Perkasa bersama-sama Mahathir semakin membesar, ia akan tarik kembali UMNO ke jalan puak kanan, dan akan lebih susah untuk negara ini mengharung perjalanan.
Laporan pendidikan yang ditulis dalam bahasa Mandarin diarah turut ditulis dalam bahasa Melayu menjadi topik di dalam ruangan ‘perbincangan umum rakyat’ akhbar China Press pada 31 Jan 2010 (Ahad).
Melalui tajuk “Malaysia satu “bahasa Melayu”? penulis samaran Fong Ching menulis tentang peristiwa guru besar memanggil semua guru di sekolahnya mengadakan mesyuarat khas. Mesyuarat tersebut tidak dijalankan seperti biasa, semua guru menerima sepucuk surat rasmi. Guru besar membaca satu persatu ayat yang terkandung di dalamnya; “mulai dari hari ini pihak jabatan pendidikan mengarahkan semua guru yang menulis laporan atau surat berkaitan pendidikan, jika menggunakan tulisan bahasa Cina, di sebelah tajuk tugas, perlu tulis terjemahannya sekali dalam bahasa Melayu!
Semua guru terperanjat apabila arahan ini dikeluarkan kerana ia belum pernah berlaku di sekolah rendah Cina sebelum ini. Semua guru-guru termasuk penulis mempertikainya kerana merasai bahawa pihak tersebut telah melanggar hak kebebasan sekolah rendah Cina.
Ada seorang cikgu muda tampil ke hadapan berkata; “Hari ini saya mengajar perbidalan bahasa, iaitu “bermain muzik di depan lembu” dalam bahasa Mandarin. Adakah saya kena terjemahkan bulat-bulat ke dalam bahasa Melayu “bermain muzik di depan lembu”? Adakah jika pegawai-pegawai pelawat datang, mereka tahu maksud terjemahan itu?
Soalan ini mendapat sorakan dari guru- guru lain. Pada masa yang sama mereka tanya guru Melayu yang hadir mesyuarat itu bertanyakan maksud perkataan itu, adakah dia tahu apakah maksud bidalan bahasa tersebut? Dengan tersipu-sipu guru Melayu tersebut berkata tidak tahu maksudnya. Cikgu yang ajukan soalan tersebut berkata; “awaklah yang lembu!” sekali lagi dapat sorakan ramai!
Guru besar menjelaskan pendiriannya berkata, kita bertanggungjawab sebagai “penyelaras” sepatutnya mengikut arahan dari Kementerian Pelajaran menjalankan tugas penyelarasan.
Selepas tamat mesyuarat, penulis terus menelefon rakan-rakan sekerja di sekolah-sekolah lain, rupa-rupanya pada masa yang sama juga sekolah-sekolah lain terima arahan tersebut, sama juga guru besar adakan mesyuarat dan surat arahan ini dibaca oleh guru besar sendiri!
Kemusykilan kami ialah: Arahan ini adalah arahan di seluruh negara atau pun hanya arahan dari Jabatan Pelajaran Negeri Johor sahaja “yang sewenang-wenangnya”, ataupun supaya sekolah-sekolah rendah di negeri Johor mendapat “layanan baik”?
Penulis tersebut mempersoalkan, apa tujuan sebenar mereka sehingga keputusan ini dibuat?
Slogan konsep “1Malaysia” telah lama dilaungkan, jika keputusan ini dibuat hanya untuk memberi kemudahan kepada pegawai- pegawai pelawat, kenapa mereka tidak ambil peluang mempelajari bahasa Mandarin, sebaliknya suruh guru Cina membuat terjemahan? Inikah yang dikatakan Malaysia “satu Malaysia” dan Malaysia satu bahasa Melayu?