Yen Yen bidas kerajaan Kelantan abai aspek kebersihan
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, ekoran kegagalan Kelantan itu, Kementerian Pelancongan mengambil langkah berhati-hati dengan pengagihan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kelak.
"Dalam RMK-9 kementerian memperuntukkan RM31 juta, tetapi ia gagal dimanfaatkan oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memajukan pusat pelancongan seperti di pantai-pantai dan di bandar-bandar utama.
"Sebab itu kementerian kali ini akan berhati-hati dalam menyalurkan peruntukan baru agar pelaksanaan tidak menjadi seperti yang lalu apabila PBT mengambil sikap sambil lewa membantu kementerian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Riang Ria Sambutan Tahun Baru Cina di sini, hari ini.
Yen Yen berkata, peruntukan yang bakal diberikan kepada Kelantan nanti akan memberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur di lokasi pelancongan seperti pembinaan tandas dan kemudahan asas lain.
"Dalam tinjauan, saya mendapati tandas awam di Kelantan begitu kotor dan tiada penjaga.
“Sebab itu saya juga mengesyorkan kepada Kelantan agar mengambil warga emas dan ibu tunggal bagi bekerja sebagai penjaga di tandas awam, sekali gus dapat membantu mereka,” katanya. – Bernama