Shamsul "kencing"Iskandar
Dunia secara terang-terangan mengecam tuduhan dan perbicaraan tidak berasas terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukti dan keterangan yang tidak masuk dek akal, yang disediakan pasukan pendakwa, bukan hanya tidak dapat diterima rakyat Malaysia, malah masyarakat dunia melihat ia sebagai satu perbicaraan berniat jahat, penuh sandiwara dan memalukan.
Tidak hairanlah apabila 50 ahli parlimen Australia, membantah fitnah terhadap Anwar dan meminta kes itu digugurkan kerana ketiadaan bukti, sebaliknya sarat dengan bukti-bukti konspirasi.
Tekanan terus bertambah apabila Ame-rika Syarikat, melalui John Kerry, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika, mengutuk perbicaraan terhadap Anwar dan mahukan ia dijalani dengan adil.
Bagaimanapun, Umno-BN enggan mengakui kesilapan mereka, sebaliknya cuba memalingkan perhatian rakyat dari suara seluruh dunia. Lantas, mereka mengecam negara-negara terbabit sebagai tidak menghormati undang-undang negara kita.
Saya ingin bertanya kepada pemimpin Umno, sejak bilakah Umno benar-benar menghormati dan memartabatkan prinsip undang-undang? Siapakah yang memulakan krisis kehakiman, memecat para hakim yang tidak bersekongkol dengan pemerintah dan menghidupkan budaya rasuah dalam badan kehakiman?
Dalam kes Anwar ini, di manakah pula peranan mahkamah syariah yang nyata ditolak ke tepi? Apakah tindakan pihak pendakwa, yang enggan menyerahkan bukti pendakwaan kepada pasukan pembela, sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 51 A, menghormati prinsip keadilan dan undang-undang?
Tidak cukup dengan itu, saya ingin menimbulkan persoalan, mengapa Umno tidak mengecam ulama-ulama seperti Sheikh Yusuf Al-Qa-radawi dan Sheikh Wahbah Zuhaili, yang sebelum ini turut menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar? Kenapakah Khairi Jamaluddin tidak turut menyatakan ulama-ulama ini sebagai pengacau atau pengadudomba?
Maka melentinglah sekalian Pemuda Umno dan NGO seperti Perkasa yang melaungkan bahawa negara asing tersebut cuba mengganggu kedaulatan dan mencampuri urusan negara kita. Lebih melucukan, Umno yang sebelum ini mengecam dan merendah-rendahkan amalan berdemonstrasi, kini menjilat ludah mereka sendiri!
Namun, apa sahaja yang dilakukan Umno, pasti tidak akan dapat menyekat suara ramai. Apa yang pasti, pertuduhan jahat terhadap Anwar telah pun mencemar imej dan kredibiliti badan kehakiman dan maruah negara kita secara keseluruhan.
Syarikat-syarikat asing sudah tentu tidak mempunyai keyakinan untuk melabur dan berurusan dengan Malaysia, sekiranya mereka melihat inilah sistem undang-undang yang diguna pakai negara ini.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua, Angkatan Muda KEADILAN