Ahad, 7 Mac 2010

MASIH INGAT GENG STEYR

Isnin Disember 25, 2006
KUALA LUMPUR:  Tindakan pantas pemandu sebuah van keselamatan yang memecut kenderaan yang dibawanya berjaya menggagalkan percubaan tiga lelaki, dipercayai anggota Geng Steyr untuk merompak van berkenaan yang dalam proses untuk mengutip wang dari sebuah pasaraya di Taman Tasik Permaisuri di sini petang ini.

Jurucakap polis Cheras berkata dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, tiga pengawal keselamatan termasuk pemandu van dari syarikat Securicor tiba di pasaraya tersebut untuk mengambil hasil kutipan harian pasaraya berkenaan.

Dua pengawal keselamatan itu turun dan menuju ke pasaraya manakala pemandu van tersebut menunggu di dalam kenderaan yang diletakkan di hadapan pasaraya tersebut.

Katanya sejurus kemudian sebuah kenderaan MPV Naza Ria berwarna hitam yang dinaiki tiga lelaki berhenti di belakang van tersebut.

Dua daripada mereka yang bersenjatakan steyr dan pistol automatik turun menuju ke arah pemandu van tersebut dan melepaskan dua das tembakan amaran dari pistol tersebut, katanya.

Menyedari kejadian tersebut, pemandu van keselamatan itu katanya terus menghidupkan enjin dan cuba melarikan vannya tetapi dihalang oleh MPV yang memintas di hadapan.

Pemandu van itu kemudian bertindak memandu kenderaannya melalui kaki lima dan merempuh beberapa buah motosikal serta sebuah kereta jenis Nissan Sentra untuk melarikan diri.

"Pemandu van itu terus ke balai polis Salak Selatan yang terletak satu kilometer dari tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata hasil maklumat awal mendapati dua daripada suspek memakai topeng ski dan menggunakan sepucuk pistol automatik, dan selaras steyr yang menyamai beberapa rompakan yang pernah dilakukan oleh Geng Steyr dua tahun lepas.

Katanya nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan tiga lelaki itu adalah palsu.
Semasa kejadian, van itu sedang membawa RM200,000 yang dikutip dari tempat lain.

Anda tahu siapa dibelakang geng ini dan apakah misi dan visi mereka?

bersambung............