PENDUDUK TAIPING BANTAH PROJEK KILANG MAGNESIUM |
Thursday, 25 March 2010 10:52 |
TAIPING - Selepas isu berkenaan kilang magnesium di Taiping mendapat perhatian media, kini pelbagai pihak mula menyuarakan bantahan terhadap projek tersebut. Bantahan ini disuarakan dalam satu majlis taklimat yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak. Taklimat ini turut dihadiri oleh 100 orang penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran kilang tersebut. Sesi taklimat hangat seketika apabila wakil kilang mendakwa penduduk-penduduk telah menfitnah kilang tersebut dengan dakwaan yang tidak berasas. Namun begitu, dakwaan itu disangkal dengan lantang oleh Puan Aslina, yang menjadi wakil kepada penduduk. Menurut Cik Christine Lim, pengurus Persatuan Pengguna Air dan Tenaga, yang turut hadir dalam taklimat tersebut, beliau terkejut dengan cara pegawai kilang yang menuduh penduduk itu. Taklimat ini bertujuan untuk menjelaskan kepada penduduk mengenai projek kilang ini dan meyakinkan penduduk tentang tahap keselamatan di kilang tersebut. Tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Persoalan yang diutarakan oleh penduduk gagal dijelaskan, ujar Cik Christine lagi. Cik Christine turut menyuarakan tentang maklumat yang terdapat dalam Laporan Impak Alam Sekitar (EIA). Wakil Jabatan Alam Sekitar, Encik Rosli menyatakan bahawa laporan EIA tersebut adalah untuk unit boiler, bukan laporan projek. Apabila dinyatakan tentang laporan Kajian Kitar Hayat (LCA) yang menunjukkan proses Pidgeon merupakan proses yang mendapat kedudukan terendah berbanding proses lain untuk mengekstrak magnesium, wakil JAS gagal memberikan penjelasan. Semua penduduk yang hadir dalam taklimat tersebut sebulat suara menyatakan bantahan mereka terhadap projek kilang itu. Sesi taklimat turut dihadiri oleh wakil Kilang magnesium tersebut, iaitu Commerce Venture Magnesium Ltd. Christine Lim Pengurus Persatuan Pengguna Air dan Tenaga (WECAM) |