Ahad, 25 April 2010

Hulu Selangor: 32 Ditahan Kerana Jadi Tukang Kecoh

Seramai 32 orang, termasuk enam orang hari ini, ditahan polis kerana pelbagai kesalahan sepanjang tempoh pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di pelbagai lokasi kerana dipercayai menjadi "tukang kecoh" dan cuba menimbulkan kekacauan.

"26 termasuk tiga wanita ditahan sepanjang tempoh dari hari penamaan calon (17 April) hingga tempoh (tamat) berkempen (12 tengah malam tadi) manakala enam lagi ditahan pada hari ini," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata kesemua 26 orang itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan mereka diambil.

Katanya sementara lima daripada enam lelaki yang ditahan hari ini disiasat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 427 kanun yang sama kerana khianat.

Katanya kelima-lima lelaki itu ditahan di sebuah pusat pengundian di Sungai Buaya manakala enggan mendedahkan tempat seorang lagi lelaki itu ditahan.

Sementara itu, Khalid berkata polis akan menyiasat laporan sebuah portal berita yang disiarkan hari ini yang mendakwa polis menahan pengundi hantu yang membawa senjata ke pusat pengundian.

"Saya nafikan laporan tersebut yang dilihat boleh menimbulkan perasaan takut kepada pengundi dan kita akan buat laporan polis terhadap media terbabit dan memanggil wartawan yang menulisnya," katanya sambil memberi jaminan bahawa keselamatan pengundi adalah terjamin.

Mengenai perjalanan proses pengundian sehingga berita ini ditulis, beliau berkata sebanyak 195 laporan polis diterima melibatkan pelbagai kes dengan 35 daripadanya telah disiasat.

Katanya keadaan adalah terkawal walaupun terdapat sedikit insiden kekecohan di beberapa tempat seperti Sungai Buaya, Bukit Sentosa dan Hulu Bernam.

"Para penyokong parti menimbulkan provokasi sesama mereka seperti jerit-menjerit, ejek mengejek dan membaling botol kosong namun kita berjaya mengawal keadaan.

"Cuma ada satu insiden bertumbuk yang mengakibatkan seorang penyokong lelaki cedera di dahinya di sebuah pusat pengundian di Sungai Buaya, namun kita masih belum menerima sebarang laporan polis," katanya.

Justeru itu beliau menasihatkan para penyokong parti bertanding supaya lebih berdisiplin dan menjaga tutur kata dan tingkah laku supaya tidak menimbulkan kemarahan pihak lain.