
Dalam membuat keputusan ini, Parti akan mengambil kira beberapa faktor termasuklah latar belakang calon, pengalaman dan kelayakan beliau, demografi para pengundi, ciri khas kawasan tersebut, pandangan-pandangan parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat serta faktor-faktor lainnya yang relevan.Namun tiada siapapun dengan faktor-faktor tersebut dengan sendirinya dapat menentukan siapakah calon yang sepatutnya. Ujian muktamadnya terletak pada peluang untuk menang yang paling cerah di antara senarai mereka yang dipertimbangkan sebagai calon.
Pada pilihanraya umum yang lalu, selain daripada faktor-faktor di atas, Parti memastikan calon-calon yang diletakkan untuk bertanding perlu seimbang mewakili semua masyarakat, kaum dan latar belakang dalam pertimbangan yang wajar dan munasabah.
Menjadi amalan Parti juga bahawa pimpinannya tidak membincangkan kelebihan atau kekurangan seseorang calon itu di ruang awam. Setiap pandangan yang dizahirkan hanyalah pandangan peribadi dan tidak ada kaitan dengan Parti. Pemilihan calon merupakan hal dalaman Parti.
Keputusan akhir berhubung pemilihan calon akan ditentukan dalam Majlis Pimpinan Pusat Parti, kecuali tugas memilih calon ini diserahkan kepada Biro Politik ataupun sebarang pemimpin khusus Parti. Tidak ada seorangpun calon boleh bertanding tanpa surat yang ditandatangani oleh Presiden Parti.
SIVARASA RASIAH
Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat