Wakil Rakyat PKR Sendiri Tolak Zaid
Usaha pembangkang mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor bakal berdepan tugas sukar apabila pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon yang akan menggalas cabaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditentang oleh ahli parti itu sendiri.
Wakil rakyat PKR yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, Zaid tidak mungkin dapat memahami kehendak pengundi Hulu Selangor kerana beliau bukan pemimpin tempatan dan ditambah pula dengan gaya hidup elit serta liberal yang diamalkannya.
"Jika menang sekali pun, pembaharuan yang mungkin dibawa oleh Zaid di Hulu Selangor ialah lebih banyak pusat hiburan bakal diwujudkan dan bukannya kemajuan seperti yang dikehendaki rakyat,'' katanya sinis ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan PKR menamakan Zaid sebagai calon yang sekali gus, mengetepikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud.
Selain itu, pemilihan tersebut turut mengetepikan Ketua Pemuda, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor, Dr. Halili Rahmat yang sebelum ini turut disebut-sebut berpotensi sebagai calon.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan calon PKR berkata, Zaid dipilih kerana parti itu mahu calon yang sudah teruji dalam politik.
Selain itu, pemilihan Zaid dibuat kerana beliau mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri demi mempertahankan hak rakyat.
Mengulas lanjut, Choo Keong berkata, pemilihan Zaid juga bermakna PKR tidak mempunyai ruang untuk menyerang Barisan Nasional (BN) seperti yang menjadi kebiasaan setiap kali kempen pilihan raya sebaliknya parti itu pula yang perlu bersifat defensif.
"Inilah yang bakal terjadi jika kita memilih calon yang mempunyai gaya hidup terlalu moden untuk bertanding di kawasan pinggir bandar yang majoritinya pengundi Melayu beragama Islam,'' jelasnya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula berkata, pemilihan Zaid membuktikan bahawa Ketua Pembangkang itu tunduk kepada DAP hanya semata-mata untuk mengejar undi bukan Melayu di Hulu Selangor.
Katanya, Anwar tidak mempedulikan perasaan Pas yang tidak selesa dengan Zaid ekoran amalan gaya hidup moden selain bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan berhubung pelaksanaan hukum hudud suatu ketika dahulu.
"Anwar akan menonjolkan Zaid sebagai hero kepada kaum bukan Melayu di Hulu Selangor kerana pembangkang menyasarkan untuk memperoleh 90 peratus undi kaum Cina dan India memandangkan pengundi Melayu kini lebih condong kepada kerajaan.
"Zaid akan dicanang sebagai pemimpin yang kononnya bakal membela nasib bukan Melayu khususnya kaum Cina dengan mengambil contoh penentangan bekas menteri itu semasa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),'' kata Anuar.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor terpaksa diadakan pada 25 April selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
Sumber: Malaysia Instinct