Ahad, 18 April 2010

UMNO Kelantan akan dedah siapa Zaid sebenarnya

Demi memastikan lebih 60,000 pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak membuat kesilapan dalam memilih wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 25 April ini, UMNO Kelantan akan mendedahkan siapa sebenarnya calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penduduk Hulu Selangor berhak mengetahui kepincangan yang dilakukan Zaid sewaktu menjadi anggota Parlimen Kota Baharu dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO sebelum ini.

"Saya sendiri mengenali (Datuk) Zaid Ibrahim kira-kira lapan tahun dan pernah menjadi timbalan saya dan juga pernah menjadi anggota Parlimen Kota Baharu yang rakyat Kelantan semua tahu apa yang dilakukannya.

"Pengundi Hulu Selangor berhak tahu apa yang dilakukan Zaid sebelum ini dan UMNO Kelantan tidak mahu pengundi membuat kesilapan memilih calon mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mustapa berkata, sewaktu menjadi anggota Parlimen Kota Baharu selama sepenggal sejak pilihan raya Umum 2004, Zaid telah gagal menumpukan perhatian berkhidmat untuk rakyat.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beberapa individu yang pernah menjadi rakan baik Zaid sebelum ini juga sudah menyatakan kesediaan untuk berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN)